Ketika catatan ini dibuat, hujan masih turun. Pagi tadi bukan main lebatnya hujan. Hantar anak pun dalam hujan. Seperti biasa, bila hari hujan ana pagi-pagi lagi akan dapat mesej 'Sy lmbt ckit ujn lbt'. Itulah mesej drp staf ana setiap kali hujan turun...
Lebat ke renyai-renyai ke, mesej tu lah yang ana dapat. jadi ana terpaksa ubah jadual hari ni.
Itulah antara asam garam kita sebagai peniaga. Memang sukar untuk mencari pekerja yang komited dan tepati masa. Ana ada seorang rakan yang mengusahakan stesen minyak. Pada peringkat awalnya hanya pekerja tempatan diambil bekerja. Tetapi apabila perniagaan semakin besar, lebih ramai pula pekerja Bangla yang bekerja. Ana pernah bertanya kepadanya tentang perkara ini dan dia menyatakan bahawa pekerja tempatan ni banyak ragam.. hujan sikit datang lewat. Ada kenduri datang lewat. Ada saudara mati, minta cuti. Anak demam, minta cuti. Isteri pergi klinik, datang lewat dan banyak lagi. Tapi pekerja Bangla tak de masalah. Hujan ke, kenduri ke, keluarga sakit ke, saudara mara mati ke, mereka tetap datang bekerja! Mereka sebatang kara di sini mencari rezeki. Tanpa ibu bapa dan keluarga.
Bahkan jika anak sendiri pun, mereka juga akan datang lambat bila hujan turun. Itulah sebabnya mengapa banyak perniagaan yang besar akan musnah bila diambilalih oleh anak sendiri tanpa minat. Memang ada ibubapa yang memaksa anak mereka meneruskan empayar perniagaan bapa mereka... tetapi mampukah mereka? Kebanyakan anak ahli perniagaan akan merasa cukup selesa dengan kesenangan bapa mereka. Mereka ingat duit perniagaan tu duit bapa mereka. Tetapi ini adalah tanggapan yang amat salah.
Sebenarnya bapa mereka hanya bekerja makan gaji dengan syarikat sendiri. Oleh itu, bapa mereka juga harus bekerja keras dan berdisiplin dalam bekerja. Bukan bermakna bekerja dengan syarikat sendiri itu, boleh datang ikut suka... boleh buat apa suka. Inilah faktor kegagalan peniaga Melayu dalam perniagaan.
Jika anda adalah anak kepada ahli perniagaan, hargailah usaha bapa anda. Berilah sokongan kepadanya kerana tidak mungkin orang lain akan membantunya. Bantulah seadanya. Paling tidak, mendoakan akan kejayaannya. Jika anda tidak berjinak-jinak dengan perniagaan bapa anda, jangan harap perniagaan itu akan diwarisi oleh anda! Mungkin ia akan dijual kepada orang lain selepas kematian bapa anda ataupun mungkin perniagaan tersebut akan musnah ditangan anda. Bantulah bapa anda selagi dia masih ada agar anda tidak menyesal apabila dia sudah tiada!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan