Sabtu, Mac 31, 2012

Jammed

Hari ini fikiran ana jammed. Idea ada hendak tulis, tapi tidak dapat luahkan secara teratur. Banyak kisah yang hendak dipaparkan, tapi tidak mampu dipamerkan. Inilah kehidupan manusia, sehebat mana pun kita, sepandai mana pun kita, jika Allah tidak memberikan hidayah, pasti kita tidak mampu untuk menzahirkannya. Selamat bercuti di hujung minggu. Semoga minggu ini menjadi minggu paling indah dalam kehidupan kita. Jumpa lagi..

Khamis, Mac 29, 2012

Masih Lagi Demam

Pagi tadi ana telefon rakan ana yang hendak membantu ana menaiktaraf aktiviti motivasi5k. Dia masih demam, masih batuk dan masih belum sihat. Ana berdoa semoga beliau cepat sembuh.

Kipas Syiling Baru

Alhamdulillah, selepas rumah dikemas ditambah pula dengan memasang 5 kipas syiling baru, rumah kami lebih sejuk dan nyaman. 2 buah di ruang tamu dan setiap sebuah di 3 bilik tidur.

Terapi Rumput

Alhamdulillah. Hari ini merupakan hari kedua ana bersenam minggu ini. Ketika tiba di stadium, ana lihat  rumput sudah pendek. Terima kasih kepada pekerja  MDSB. 
Nikmat berjalan dan berlari di atas rumput pendek amat mengasyikkan. Sungguh terasa tapak kaki 'diurut dan dibelai' oleh rumput. Tidak perlu membeli mesin terapi yang berharga ribuan ringgit. Jika anda hendak melakukan Terapi Rumput, lakukanlah dengan berjalan cepat, berjalan biasa dan berlari. Lakukanlah selama 30 minit. Cubalah!

Rabu, Mac 28, 2012

Jangan Harapkan Orang Lain

Sehingga minggu lepas, cek pinjaman pelajaran Shahida masih belum 'clear'. Biasanya 3 hari selepas bank in, clearlah cek tu. Apabial ditanya oleh ayahnya, Shahida menjawab, "Saya sudah kirimkan kepada rakan yang keluar kampus dan bank in di Bank Islam Bangi." Sebenarnya, ayahnya amat tidak sedap hati kerana cek yang bernilai hampir RM6000.00 itu dikirimkan melalui rakan. Maklumlah, macam-macam boleh jadi. Cek hilanglah, salah tulislah, keciciran dan sebagainya. Awal minggu ini ayahnya telefon Shahida, "Cek dah clear belum?". Shahida menjawab, "Belum. Saya sudah semak melalui TAP tapi belum masuk lagi.". Ayahnya pun minta Shahida semak slip bank. "Ayah, kawan saya silap tulis nombor akaun. Tertinggal satu nombor." Sahlah cek itu tidak clear. "Pergi ke bank cepat. Uruskan. Itulah jangan harapkan orang lain dalam hal-hal begini."
Alhamdulillah, setelah Shahida pergi sendiri ke bank, perkara itu dapat diselesaikan. Ini merupakan pengalaman pertama Shahida berurusan melalui cek. Kepada siswa siswi yang lain, ana ingin memberi nasihat supaya jangan terlalu mengharapkan orang lain dalam hal-hal yang amat penting seperti ini. Ada juga siswazah yang terlepas kerja kerana kirimkan borang melalui rakan yang terlupa hendak hantarkan. Ada juga siswa siswi yang terlepas peluang ke U kerana kawan tidak poskan barang. Macam-macam boleh berlaku.  Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Berhati-hatilah...

Selasa, Mac 27, 2012

Jual Perniagaan, Jual Harta

Kehidupan Basir semakin getir. Basir mengambil keputusan untuk menjual kedai, rumah dan MPV Unser kesayangannya. Basir sudah serik berniaga. Teringat zaman makan gaji dahulu, makan minum, tempat tinggal dan kenderaan semuanya cukup. Jika pergi kursus atau mesyuarat, merasa juga tidur di hotel lima bintang. Guru-gurunya meminta Basir melakukan Solat Istiharah... memohon petunjuk dari Ilahi.

Isnin, Mac 26, 2012

Tidak Jadi Datang

"Salam, Saya hari ini demam, jadi esok tidak dapat datang dan datang bila baik, sorry thanks." itulah sms yang ana terima malam tadi daripada rakan ana yang sudah janji hendak datang hari ini. Sms tersebut baru ana baca pagi ini. Ana pun terus membalas, "Ok. Banyakkan minum air. Jika hendak penawar homeopati datanglah. Semoga cepat sembuh."
Pagi ini ana tidak bersenam kerana kurang bermaya. Mungkin kerana keletihan semalam. Jadi ana memilih untuk rehatkan diri sebentar dan pulihkan tenaga. Namun kerja mesti diteruskan tanpa rakan tersebut. Insya-Allah ana akan mulakan kerja-kerja menaiktaraf mengikut konsep 5S.

Ahad, Mac 25, 2012

Kemas Rumah

Hari ini hari minggu. Balik dari masjid subuh tadi ana terus beli roti untuk sarapan dan akhbar tempatan. Hari ini mudah sahaja. Tidak ke pasar dan tidak ke gerai kueh. Nasi malam tadi masih ada, Isteri pula masak ayam masak merah. Ikan keli goreng semalam pun masih ada. Cukuplah untuk sarapan dan makan tengahari. Ana pun tidak mahu keluar rumah kerana hendak kemas rumah. Kemas luar dan dalam rumah. Sehingga catatan ini dibuat, kerja-kerja mengemas rumah masih belum siap. Kepada semua pembaca, ana ucapkan selamat beristirehat bersama keluarga. Luangkanlah masa bersama keluarga. Jumpa lagi...

Sabtu, Mac 24, 2012

Naiktaraf Aktiviti Motivasi5k

Semalam ana adakan perbincangan dengan seorang rakan yang merupakan pesara kerajaan. Beliau yang berpengalaman luas di sektor pelancungan menarik minat ana mengadakan kerjasama dengannya. Hampir dua jam kami berbincang, maka kami telah bersepakat untuk menaiktaraf perniagaan yang ada di samping membuka perniagaan baru. Kerja-kerja menaiktaraf akan dilakukan bagi aktiviti perniagaan seperti berikut:
  • Pusat Pendidikan dan Latihan
  • Pusat Jualan
  • Pusat Rawatan Alternatif, dan
  • Kem Latihan.
Memandangkan asas perniagaan sudah ada, fasiliti juga telah ada, maka kami bersepakat akan memulakan kerja-kerja tersebut mulai minggu depan. Kepada semua pembaca, kami mohon doakanlah kejayaan kami. Kejayaan yang dapat menjadi role-model di kalangan peniaga muslim dan non-muslim. Memang cita-cita kami besar iaitu ingin mengembalikan kegemilangan zaman pedagang-pedagang Islam di Melaka suatu ketika dulu.... namun mampukah kami?

Jumaat, Mac 23, 2012

Tahniah Kepada Pelajar Cemerlang SPM 2011

Tahniah ana ucapkan kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM 2011 yang lalu. Tahniah juga kepada saudara mara ana yang berjaya khusus kepada anak buah ana Syafiq, yang mendapat 7A 2B. 
Kepada pelajar yang berjaya tentu sahaja berasa puas. Memberi kegembiraan kepada guru-guru, ibu bapa dan rakan-rakan. Kepada pelajar yang mendapat keputusan 'cukup makan', tentu berasa kurang puas hati dan berazam akan berusaha lebih di masa akan datang. Kepada pelajar yang gagal, tentu berasa amat kecewa. Namun kepada pelajar yang biasa gagal, tentu tidak berasa apa-apa.
Hari yang telah berlalu tidak mungkin akan datang lagi. Hari yang akan datang perlu anda harungi. Jangan mudah kecewa. Teruskan usaha hingga berjaya. Selamat Belajar!

Virus Pisang

Semalam ana ada berbincang dengan seorang paman (panggilan untuk pakcik dalam Bahasa Jawa) yang terlibat secara aktif dalam pertanian. Bukan sahaja mengusahakan sawah, malah turut terlibat dalam penanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan juga. Dalam perbualan kami, sempat juga paman menerima pesanan 100 benih anak pisang tanduk. Jadi ana pun bertanyalah tentang penyakit yang melanda pokok pisang di daerah Sabak Bernam ketika ini. Memang mengejutkan. Pokok pisang diserang virus. Pokok pisang rosak, buah pisang tidak boleh dimakan. Namun menurut paman bukan semua jenis pisang yang kena virus. Yang kena jangkitan virus pada masa ini hanya pisang-pisang abu, awak dan nangka. Ramai petani kehilangan pendapatan. Pengusaha kerepek pisang pula susah mendapat bekalan. Harga pisang naik lagi. Apapun yang berlaku, kita mesti redha. 
Kepada para petani, ana ingin memberi perinagatan supaya lebih berserah kepada Allah. Jangan terlalu yakin dengan usaha diri semata-mata, jangan terlalu yakin racunlah pembunuh segala-galanya dan jangan terlalu yakin teknologi boleh membuat segalanya. Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Pemberi Rezeki. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah mengampunkan dosa kita, semoga Allah menghentikan bencana ini. Amiin.

Kemaskini Susunan Label

Salam Motivasi. Terima kasih di atas cadangan para pembaca blog motivasi5k supaya beberapa kisah motivasi dan teladan disusun di bawah satu label. Setelah difikirkan dan berbincang dengan tuan punya cerita, maka dengan ini ana mengumumkan bahawa susunan label baru akan dibuat untuk kisah-kisah Shahida, Ani, Basri, Basir, Pak Salleh dan Adik Keemasan. Kisah-kisah lain akan disusun kemudian. Insya-Allah ana akan fikirkan beberapa tajuk yang sesuai. 
Semoga dengan penyususnan kisah mereka di bawah label yang berasingan akan memudahkan pembaca mengikuti kisah benar ini secara berterusan. Tiada apa yang kami inginkan melainkan mencari keredhaan Allah dan menjadikan kisah tersebut sebagai  teladan bersama. 
Akhirnya, ana ucapkan jutaan terima kasih kepada tuan punya cerita dan para pembaca. Terima kasih juga kepada pemberi cadangan dan pandangan membina. Terima kasih.

Senaman Ganti

Sudah dua hari ana tidak turun padang. Bagi mengekalkan senaman tiga kali seminggu, maka pagi ini ana turun padang. Seperti biasa selepas ana hantar anak-anak ke sekolah dan beli sarapan ana pun terus ke stadium. Rumput masih panjang. Namun senaman harus diteruskan. Selesai bersenam ana terus ke pejabat.

Rabu, Mac 21, 2012

STPM atau IPTS

Fikiran Zack (bukan nama sebenar) masih buntu. Serba serbi tidak kena. Sejak Zack mendapat keputusan STPM dua minggu lalu, fikirannya tidak tenang. Kecewa benar dia. Hampir dua tahun bertungkus lumus belajar, hanya mampu dapat 1.++ sahaja. Tetapi dia memang jujur. Apabila majikannya bertanya keputusannya, Zack beritahu terus terang. Majikannya sempat bertanya, "Zack, rakan-rakan kau macam mana?". Zack pun menjawab, "Kalau saya pun dapat macam ni, ramai lagi yang teruk boss." 

Daripada jawapan itu, ternyata Zack bukan calang-calang pelajar. Kesungguhan belajar memang ada tapi mungkin teknik belajar dan menjawabnya kurang baik. "Habis kau nak buat apa?" tanya bossnya lagi. "Saya hendak ambil sekali lagi. Saya nak belajar kaw-kaw!" jawabnya. Zack mohon untuk terus bekerja sambil belajar. Majikannya memang amat menggalakkan Zack ambil sekali lagi STPM. Zack memang tidak mahu ke IPTS kerana tidak mahu banyak hutang.

Namun hari ini Zack berubah fikiran. Dalam diam-diam Zack memohon ke IPTS. Zack fikir jika ambil STPM pun belum tentu dapat keputusan cemerlang. Zack telah 'diracuni' rakan-rakan. Mood untuk belajar di IPTS di utara Semenanjung semakin menebal. Zack tekad. Zack beritahu majikannya mungkin yang dia hendak berhenti kerja bulan Jun depan. Bagi majikannya, itu hak Zack.. terserahlah kepadanya untuk memilih.

Motivasi5k ingin memberi pandangan peribadi dalam kes ini. Apapun keputusan yang Zack buat mestilah dibuat dengan tenang. Fikir habis-habis. Pilihlah yang terbaik. Lakukan solat istiharah. Mohon petunjuk daripada Allah. Jangan ikutkan hati... nanti mati. Jangan ikutkan nafsu... nanti lesu. Semoga Zack berjaya dalam apa juga keputusan yang diambil, yang penting ialah teruskan belajar! Dapatkan segulung ijazah bagi membina kerjaya yang lebih cemerlang. Selamat berjaya!

Keputusan SPM 2011

Hari ini keputusan SPM 2011 akan diumumkan. Kepada semua pelajar yang akan mengambil keputusan hari ini, ana ucapkan selamat berjaya. Jagalah kesihatan dan berhati-hatilah di jalan raya. Apapun keputusan yang anda terima, terimalah dengan redha. Kepada ibu bapa pula, tentu akan gembira jika anak memperolehi keputusan cemerlang. Kepada ibu bapa yang anaknya mendapat keputusan yang kurang baik, janganlah cepat melatah, janganlah cepat marah. Berilah semangat baru kepada mereka untuk bangkit daripada kegagalan tersebut. Gagal hari ini bukanlah bermakna gagal seterusnya... bantulah mereka kerana mereka amat memerlukan sokongan kuat anda pada masa ini...

Selasa, Mac 20, 2012

Jangan Peduli Cakap Orang

Pagi tadi ana turun padang lagi. Ana lihat rumput masih panjang. Namun hari ini tidaklah seperti semalam. Hari ini rumput panjang bukan lagi halangan bagi ana. Alah bisa tinggal biasa. Namun ketika ana sedang berjalan beberapa pusingan, seorang guru pencen yang juga turut bersenam setiap pagi menegur ana, "Rumput panjang sangat, sakit kaki. Patutnya potonglah 2 kali seminggu." Ana pun hanya mengiyakan sahaja. Cikgu pencen ni memang rajin bersenam. Lengkap pakaian sukan dan kasut jogging lagi.

Hakikatnya, sakit kaki ke tidak ana sahaja yang tahu. Tapi bagi diri ana, permukaan tanah yang tidak rata itu amat baik untuk kaki. Kaki ana 'diurut' secara semulajadi. Banyak faedahnya. Itulah kehidupan, apa yang kita lakukan tidak mungkin difahami oleh orang lain. Maka tidak adil bagi mereka untuk menyatakan tindakan kita tidak baik. Hanya kita yang tahu kekuatan diri kita untuk memajukan diri sendiri. Ramai orang tewas dalam hidup kerana terlalu mengikut cakap orang. Tepuk dada tanya selera...

Isnin, Mac 19, 2012

Rumput Panjang Sangat

Lebih 10 hari ana tidak turun padang. Pagi tadi ana gagahi juga untuk turun padang. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah, ana terus ke stadium. Tiba sahaja di stadium, ana terus ke padang bola untuk buat terapi azan tan terapi embun. Terkejut juga ana lihat Rumput Panjang Sangat.. Bukan main-main punya panjang, ada yang sampai ke lutut...Teringat ana kisah Bangau Oh Bangau...

Ahad, Mac 18, 2012

Shahida Dapat Pinjaman

Alhamdulillah. Akhirnya Shahida dapat juga pinjaman daripada Kerajaan Negeri Selangor. Cek sudah di tangan. Hanya hendak pergi ke bank dan bank-in sahaja. Syukur bukan main Shahida. Seperti biasa, Shahida akan buat sujud syukur tanda terima kasih kepada Allah yang membantunya. Pinjaman ini bukan sahaja dapat meringankan bebannya, malah beban keluarganya juga. Dan yang paling penting ialah pinjaman tersebut bebas daripada penindasan dan kezaliman akibat amalan riba. Kini, Shahida bertambah yakin. Yakin dengan hukum Allah. Nikmat kelebihan menuntut ilmu mula dirasai, nikmat keberkatan Ilahi mula dikecapi. Shahida semakn yakin dengan perjuangan Islam di kampus. Shahida semakin berani menyatakan yang hak. Dalam hatinya Shahida mula berazam untuk memperjuagkan pinjaman tanpa riba! Takbir!

Cuti Sekolah, Cuti Segalanya

Salam Motivasi. Cuti Sekolah, Cuti Segalanya. Itulah ungkapan paling sesuai ana berikan tentang apa yang berlaku pada diri ana dalam seminggu. Bermula pada hari Ahad, 10 Mac hinggalah Sabtu, 17 Mac 2012, ana bercuti panjang. Balik kampung di Pantai Timur dan hadiri seminar di Perak. Urusan perniagaan dan kelas al-Quran ana serahkan kepada pembantu-pembantu ana. Rutin harian ana sudah tidak seperti biasa. Cuti sekolah... cuti bersenam... cuti bertalaqqi... cuti mengajar al-Quran... cuti bekerja... cuti segalanya.... Insya-Allah ana akan berkongsi cerita menarik yang dapat memberi dorongan diri kita. Sebentar lagi ana hendak pergi hantar anak ana balik ke asrama di sebuah kolej di Lembah Klang. Jumpa lagi.. 

Ahad, Mac 11, 2012

Kongsi Pengalaman di Sekolah Berprestasi Tinggi

Seperti Keemasan juga, Ani juga balik kampung di Sabak Bernam pada hari Jumaat lalu. Ani cuti seminggu. Sempat juga motivasi5k berhubung dengannya. Insya-Allah Ani akan memberi beberapa pengalaman barunya belajar di sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi. Motivasi5k ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ani kerana sudi berkongsi kisah benarnya. Semoga kisahnya akan menjadi teledan dan pendorong diri untuk belajar.

Keemasan Balik Kampung

Semalam adik Keemasan balik kampung di Pasir Mas, Kelantan. Keemasan balik kampung bersama adik perempuannya berumur 8 tahun. Mereka balik kampung tumpang kereta makcik mereka. Keemasan sangat suka hati. Dapatlah dia bertemu neneknya yang sudah tua. Ibu dan ayahnya akan pulang hari ini. Insya-Allah motivasi5k akan cuba mendapatkan ceritanya di kampung.

Sabtu, Mac 10, 2012

Selamat Bercuti

Selamat Bercuti ana ucapkan kepada semua murid sekolah dan  para pelajar yang mula bercuti. Isikan masa terluang anda dengan kerja-kerja yang berfaedah. Jangan melepak atau habiskan masa dengan sia-sia. Bantulah ibu dan ayah jika perlu. Libatkan diri dengan aktiviti keluarga. Ajaklah ibu dan ayah balik kampung ziarah atuk dan nenek...

Tahniah Kepada Pelajar Cemerlang STPM 2011

Salam Motivasi. Ana ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan STPM 2011 yang lalu. Kepada yang layak untuk memohon memasuki universiti, pilihlah 'U' yang paling layak untuk anda pohon. Jangan pilih ikut kesukaan anda sahaja. Persaingan untuk masuk 'U' amat sengit. Jangan tersalah pilih. Pilihlah kursus yang paling layak untuk diri anda di 'U' yang paling sesuai dengan keputusan anda. Ramai pelajar yang mendapat keputusan yang baik tetapi gagal masuk 'U' kerana tersalah pilih!
Kepada mereka yang tidak mendapat keputusan yang baik, jangan putus asa. Ambillah sekali lagi. Gagal hari ini bukan bermakna anda akan gagal selamanya. Jadikan kegagalan hari ini sebagai pendorong diri anda untuk berjaya. Sesungguhnya perjalanan anda masih jauh....

Jumaat, Mac 09, 2012

Khamis, Mac 08, 2012

70% Siap

Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus siang dan malam, akhirnya 70% imej baru blog motivasi5k telah disiapkan. Terima kasih ana ucapkan kepada rakan-rakan yang membantu, juga kepada anak-anak ana yang memberi komen 'cantik - tak cantik'. Insya-Allah pengisian setiap halaman sedang diusahakan. Buat masa ini, untuk mendapatkan respond segera, sila gunakan perkhidmatan sms atau call  013-2092280. 
terima kasih.

Rabu, Mac 07, 2012

Selamat Berpisah Muridku

Bulan lalu ana dikejutkan dengan satu berita tentang pemergian kerahmatullah rakan sekelas anak ana. "Bah, Nayif sudah meninggal bah.." kata anak ana ketika masuk kereta sewaktu pulang dari sekolah. "Cakap betul-betul!" bentak ana. "Betul bah, cikgu menangis bah. Ramai kawan-kawan pun menangis." Sambung anak ana lagi. "Kenapa dia meninggal?" tanya ana lagi. "Keracunan bah." jawab anak ana.

Ana pun tak banyak tanya lagi. Antara percaya dengan tidak. Kanak-kanak berumur 11 tahun itu telah pergi buat selamanya. Ana terus telefon rakan ana yang tinggal setaman dengannya. Memang sah. Nayif sudah meninggal. Jenazahnya dalam perjalanan pulang dari Hospital Klang. Nayif meninggal jam 11.00 pagi Jumaat. Sempat juga ana pergi ziarah di rumah bapanya bersama orang rumah dan anak-anak. Sebenarnya memang ana terasa sangat dengan pemergian Nayif kerana dia merupakan murid kelas al-Quran di tempat ana. Bukan dia sahaja, malah adik beradiknya yang lain juga belajar al-Quran di tempat ana. Allahyarham juga merupakan murid paling manja dan paling baik. Selepas asar, jenazah dikebumikan. Selamat Berpisah Muridku. Semoga engkau ditempatkan bersama orang-orang yang beruntung. Al-Fatihah untuk Mohd Nayif bin Kamarudin. Al-Fatihah.

Selasa, Mac 06, 2012

Kembalilah Kepada Al-Quran

Hari ini ana dikejutkan dengan berita salah seorang ahli keluarga ana sakit disantau orang. Berita ini ana terima daripada ahli keluarga terdekat. Memang ana tak nafikan santau menyantau ni... Ana tidak mahu beri apa-apa komen lagi sebab ana tidak pasti apa sebenarnya yang terjadi. Kepada ahli keluarga ana yang terlibat, ana berharap sangat agar kalian tidak lagi bertemu bomoh yang mengamalkan amalan yang boleh membawa kepada kesyirikan. Kembalilah ke pangkal jalan. Kembalilah kepada al-Quran kerana al-Quran lah sebaik-baik penawar!

Perkara yang lepas jadikan teladan. Sudah ramai ahli keluarga kita yang mati 'disantau' orang. Sanggupkah kita lihat seorang lagi ahli keluarga kita mengalami nasib yang sama seperti arwah kakak dan emak... sanggupkah? Jangan ulangi kesilapan lalu, kembalilah kepada al-Quran!

Tak Dapat Masuk Sekolah Berasrama Penuh

Adik Keemasan amat kecewa. Walaupun dapat mumtaz dalam PSRA dan 4A dalam UPSR tahun lalu, tapi masih gagal masuk ke Sekolah Berasrama Penuh. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa kecewanya dia. Tanpa disedari, airmatanya mengalir ketika berseorangan di dalam biliknya. Kesedihan ini biarlah disimpan di dalam hati sebagai pendorong masa depan. Keemasan pernah mendengar daripada pakar motivasi bahawa jika hendak berjaya mesti ada cabaran!

Namun kekecewaan Keemasan agak terubat sedikit kerana dia dapat juga memasuki ke asrama sekolah menengah agama berhampiran rumahnya. Berkali-kali ayahnya suruh dia berfikir samada hendak tinggal di asrama atau tidak. Puas sudah ayahnya memberitahu bahawa tinggal di asrama bukanlah semudah yang disangkakan. Tapi Keemasan tetap berkeras juga, hendak juga tinggal di asrama. Baginya inilah peluang baginya untuk 'bebas' daripada leteran ibu dan ayah setiap hari. Selain itu dapat juga dia 'bebas' daripada 'gangguan' adik-adiknya yang semakin membesar.

Semua peralatan telah dibeli. Pada hari pertama persekolahan, Keemasan amat bersemangat. Hari pertama tinggal di asrama memberi pengalaman yang amat bermakna. Menguji kesabaran dan keikhlasan hati. Mampukah Keemasan tinggal di asrama? Jumpa di dalam post yang akan datang...

Isnin, Mac 05, 2012

Cinta vs Cita-Cita

Antara Cinta dan Cita-Cita... memang dilema. Kepada kanak-kanak sekolah sering dikaitkan dengan cinta monyet dan jika ditanya tentang cita-cita tentu mereka akan memilih kerjaya guru, polis atau apa-apa profesion yang ada di depan mata. Kepada para remaja pula, cinta mereka sering dikaitkan denga cinta nafsu sehingga sanggup mengabaikan matlamat belajar untuk mencapai cita-cita. Kepada para siswa siswi pula cinta sering dikaitkan dengan persefahaman dan persamaan dalam aliran pemikiran atau kerjaya. Jarang sekali mereka yang tidak sefahaman akan bercinta. Namun bagi siswa siswi yang masih kuat berpegang kepada adat resam dan peradaban Islam yang kuat, mereka lebih rela memendam perasaan cinta mereka di lubuk hati. Kepada kaki rock, mereka lebih suka berterus terang melafazkan cinta walaupun tanpa keikhlasan sejati. 
Cinta yang hakiki hanyalah cinta kepada Allah dan Rasul. Cinta yang agung adalah cinta kepada ibu dan bapa. Kepada siswa siswi yang masih mengejar cita-cita, pendamkanlah perasaan cintamu terhadap teman 'istimewa'. Ingat! Kalian bukan sahaja mengejar cita-cita kalian sahaja, tetapi kalian juga telah membawa cita-cita keluarga bersama. Kejayaan kalian adalah harapan keluarga. Jangan bermain cinta, kerana apabila kalian telah jatuh cinta, pasti kalian akan mengabaikan masa untuk mengejar cita-cita. Dan jika kalian kecewa dalam bercinta pasti kalian akan tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah!

Apa Guna Duit banyak...

Ramai di kalngan rakan-rakan ana yang berniaga masa ini mengeluh karana pendapatan semakin merosot dan perbelanjaan pula semakin meningkat. Semakin ramai orang mula berniaga. Kata mereka susah nak cari kerja, jadi berniagalah. Di Sungai Besar sahaja, gerai jual air, jual burger dan kuih tumbuh macam cendawan. Kedai-kedai pula penuh disewa orang. Bukan sahaja orang tempatan, malah orang luar pun berniaga di sini. Bukan calang-calang punya syarikat... Rakan-rakan pun kata, macam ni teruklah kita.
bagi ana, rezeki masing-masing. Yang penting ialah usaha. Jangan putus asa. Tak perlu kerja siang dan malam kerana nak dapat pendapatan lebih. Bahagikan masa untuk mencari rezeki dan ibadah. 
Apa guna duit banyak jika nak solat berjemaah di masjid pun tak sempat. Apa guna duit banyak jika lemak di badan punsemakin banyak. Apa guna duit banyak jika penyakit pun banyak. Apa guna duit banyak jika orang tua  masih belum ke Mekah. Apa guna duit banyak jika adik beradik masih harapkan BR1M. Apa guna duit banyak jika masih dibelenggu dengan riba. Apa guna duit banyak jika pejuang-pejuang Islam masih berjuang bersenjatakan batu!
Ayuh! Kepada mereka yang banyak duit, bantulah sesama keluarga, sesama bangsa dan sesama agama. Duit banyak yang kalian perolehi itu perlu disucikan dengan zakat dan sedekah. Semoga tiada lagi rintihan ahli keluarga kita, tiada lagi kemiskinan bangsa kita dan tida lagi kefakiran umat Islam kita...!

Macam-Macam Hal

Pagi tadi, hujan rintik-rintik. "Tak bersenamlah jawabnya hari ni.." bisik hati ana. Jam 7. 30 pagi, ana lihat cuaca semakin baik. Tiba di rumah, baru sahaja hendak tukar pakaian sukan ana terima sms daripada pekerja ana, "Salam, ust, hri ni mgkin sy x msuk kje, sy x brape sihat ust.". ana lihat jam sudaj pukul 7.50 pagi. Orang rumah pula berpesan, "Bang, beras dah habis. Nanti belikan ikan tongkol, santan dan timun ye..". 
Ana ni kalau dah kalut-kalut macam ni memang tak syok. Apa lagi ana pun tak pergilah bersenam... mengantuk pulak rasanya.. macam tak sihat. Memang itulah asam garam nak istiqamah dengan bersenam. Macam-macam halangan...
Jam 8.50 pagi ana bergegas ke restoran untuk beli lauk makan tengahari dan beli beras di kedai runcit. Hantar balik dan terus buka kedai...  Buatlah kerja-kerja yang sepatutnya pekerja ana buat... Petang ni kenalah minta isteri tolong jaga kedai sebab ana nak pergi bantu ustaz buat rawatan rukyah syariah..

Khamis, Mac 01, 2012

Malam Ini Malam Jumaat

Peringatan penting kepada semua umat Islam, Malam Ini Malam Jumaat. Tingkatkan amalan kalian. Jangan lupa bangun qiamullail memohon keampunan dan kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat, negara dan umat Islam sedunia.! 

Berwajah Baru

Insya-Allah blog motivasi akan berwajah baru tidah lama lagi. Tunggu kemunculannya! Lebih nilai, lebih bermakna.

Kekalkan Senaman Pagi

Alhamdulillah..
Bersyukur ana kepada Ilahi kerana dapat semula mengekalkan senaman pagi minggu ini. Isnin hingga Khamis.
Biasanya ana akan keluar daripada rumah