Selasa, Ogos 27, 2013

Teruskan Beramal di Bulan Syawal

Salam sejahtera. Ramadhan telah berlalu. Syawal pulan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Beruntunglah kepada sesiapa yang telah sempurna puasa Ramadhan, bersolat Tarawih dan membayar zakat fitrah. Lebih beruntung lagi kepada sesiapa yang telah selesai puasa sunat 6 hari di bulan syawal, ibarat berpuasa sepanjang tahun.

Memang susah hendak mendidik jiwa ketika bulan di Ramadhan. Lebih susah lagi jika kita ingin mengekalkan amalan mulia yang kita lakukan di bulan Ramadhan. Menahan makan minum di siang hari memang ramai yang mampu melaksanakannya. Namun berapa ramai dari kalangan kita yang berjaya menahan diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Lebih susah lagi ialah untuk melawan penyakit hati dan hawa nafsu. 

Ada di kalangan kita yang berpuasa tetapi masih lagi mengekalkan tabiat mengumpat. Lebih sedih lagi apabila tabiat mengumpat ini dibuat selepas tadarus al-Quran di masjid. Ada pula yang berbelanja besar untuk menyambut hari raya, sedangkan ibubapa di kampung masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada pula yang mudah bersedekah bagi mendapat ganjaran besar di bulan Ramadhan, sedangkan adik beradik mereka dan kaum kerabat masih ada yang tidak mampu membeli pakaian baru untuk anak-anak. 

Wahai rakan, ketika kita makan besar, ingat-ingatlah orang tua di kampung. Ketika kita bergembira bersama keluarga, ingat-ingatlah para balu dan anak yatim. Ketika kita menyambut hari raya dalam keamanan, ingat-ingatlah saudara Islam kita di Mesir, Syria, Palestin dan di seluruh dunia yang sedang berperang menentang 'syaitan' dunia! Takbir!