Ketika sedang mendengar kuliah Maghrib di masjid semalam, ana dikejutkan dengan teguran M..
"Ustaz lepas Isyak ni ada kat kedai ke? Kalau ada saya nak jumpa." kata M. Biasanya ana tak ke kedai pada malam minggu kerana tutup, tapi disebabkan M nak jumpa, maka ana pun jawablah, "Insya-Allah." M adalah pelajar kelas al-Quran dewasa yang ana bimbing.
Ketika mula-mula belajar, huruf pun dia tak kenal. M pernah berkata kepada ana, "Ustaz, saya malu dengan anak-anak. Sampai sekarang mereka tak tahu saya tak tahu baca al-Quran. Hari-hari saya berdoa semoga saya boleh membaca al-Quran. Alhamdulillah sekarang Allah dah makbulkan doa saya. Saya dapat belajar membaca al-Quran." Memang benar, itulah M. Atas kesungguhan dia, kini dia dah boleh membaca al-Quran walaupun merangkak-rangkak. Bukan itu sahaja, malah M juga kini rajin ke masjid. Bukan dia seorang, malah isteri dan 3 orang anaknya juga turut ke masjid.
Jadi, seperti yang dijanjikan, kami pun bertemulah depan kedai ana. "Ustaz, saya mintak maaf banyak-banyak. Yang saya nak bagi ni pakaian kami yang dah dipakai. Seluar jeans tu bolelah bagi kepada anak lelaki ustaz. Jubah ni orang bagi kat saya tapi saya rasa macam tak layak nak pakai, jadi saya bagilah kat ustaz." kata M. Ana pun terus masukkan dalam kereta sambil berkata, "Sebenarnya, kami baru je kemas-kemas pakaian lama, nak bagi kat orang juga. Ada biras saya bagi baju Melayu berpasang-pasang, tapi besar sangat, nak bagi kat orang juga. Alih-alih En M bagi pulak kepada kami. Alhamdulillah. Sebelum sempat kami memberi, kami dah terima." Kemudian M dan isteri mengajak ana makan malam di restoran Gadis Patani.
Memang ana tersentuh hati, belum sempat kami buat kebaikan, Allah dah balas dengan kebaikan juga. Belum sempat kami memberi pakaian terpakai, kami sudah menerima pakaian lain yang lebih cantik-cantik. Terika kasih kepada M. Terima kasih Allah. Sesungguhnya, Menerima Sebelum Memberi itu amat mengajar kami erti kehidupan bantu membantu. Erti sebuah pembalasan daripada Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan