"Entah apa kena dengan budak tiga orang tu tak tau lah! Nak senapang pulak. Bukannya murah. Satu dah RM20. Tiga dah RM60. Hiiiih! Buat habis duit je lah." bebel Pak Salleh seorang diri. Zaiton hanya diam. Tak berani nak jawab
kalau Pak Salleh tak tanya betu-betul. Nanti tak pasal-pasal dia pula yang kena. "Ton! Hang tau tak budak-budak tu nak buat apa dengan senapang tu?" tanya Pak Salleh kepada isterinya. "Manalah Ton tau bang... tapi kawan-kawan dia orang tu memang ada senapang." jawab Zaiton.
Walaupun didesak oleh Ali, Ahmad dan Alias setiap hari untuk membeli senapang, tapi Pak Salleh buat tak tahu sahaja. Padanya beli benda-benda macam tu membazir je. "Kalau ayah tak nak beli tak apa. Kami boleh beli sendiri.." kata mereka pada suatu malam. "Hai.. banyak duit. Mana kau orang dapat ha? Curi Duit Ayah ye?" tanya Pak Salleh. "Maaana ada!" jawab Ali ringkas.
Esoknya, Pak Salleh terkejut kerana Alias dah beli pistol mainan peluru manik. Bukan main sukanya dia. Alias rela dimarah ayahnya, asalkan dapat apa yang dia nak. Cuma kena tahankan telinga saja. Paling teruk pun kena rotan saja. Ali dan Ahmad pula tak puas hati. Adik mereka dah beli sendiri. Walaupun harga pistol itu cuma RM4.00 tetapi ini dah mencabar mereka. Dalam diam-diam Ali dan Ahmad beli senapang peluru manik. Mereka dah agak, kalau suruh ayah beli dah tentu tak dapat. Jadi mereka belilah sendiri. Satu RM20.00. Pak Salleh naik berang. Tapi apabila difikir-fikirkan semula, dia hanya mendiamkan diri. Yelah, selama ni pun dia jarang sekali belikan mainan untuk anaknya. Asyik belikan buku sahaja.
Minggu itu riuh rendah jadinya rumah Pak Salleh. Manik-manik bertaburan di ruang tamu dan bilik tidur. Bantal, kusyen dan kerusi dijadikan perisai. Jenuh juga ibu mereka membebel. Tapi bagai mencurah air ke daun keladi sahaja. Tapi itu dah jadi asam garam rumah Pak Salleh. Padanya, tanpa isteri dan anak-anak tidak bermaknalah hidupnya. Pak Salleh amat bersyukur kerana walaupun hidup dalam kesempitan tapi mereka sihat dan bahagia. Apa guna harta yang bertimbun jika penuh dengan kesakitan, keperitan dan kehancuran.
Tiba waktu asar, Pak Salleh ke masjid. Selepas solat sunat asar, Pak Salleh berdoa, "Ya Allah, Engkau jadikanlah anak-anakku, anak-anak yang pintar, soleh dan solehah, yang mentaati perintahMu, perintah Rasul dan perintah ibu bapa, yang mencintai Al-Quran, membaca Al-Quran, memahami Al-Quran dan beramal menurut Al-Quran. Jauhkanlah mereka daripada rakan-rakan yang melalaikan dan rakan-rakan yang membawa kepada akhlak yang buruk. Hindarilah mereka daripada gangguan jin, syaitan dan manusia. Lindungilah mereka daripada guru-guru yang tidak amanah serta daripada orang-orang yang zalim. Amiin ya rabbal alamiin."
1 ulasan:
Salam...motivasi5k, dah byk org mendaftar ke?hrp ramailah yang sudah mendaftar untuk kelas musim cuti ni..Saya harap juga agar yang didoakan motivasi5k itu dimakbulkan Allah..
Catat Ulasan