Sabtu, November 27, 2010

Mari Bersenam

Salam Motivasi. Apa khabar? Semoga para pengunjung sentiasa diberkati Allah dan berada dalam keadaan sihat walafiat. Hari ini dan semalam ana paksa diri untuk bersenam. Sudah seminggu ana tidak bersenam. Nak tahu kenapa? ...
Ha... tentulah alasan sibuk. Memang ana sibuk dengan persiapan Kelas Intensif Musim Cuti. Tambahan pula sekarang ini musim hujan. Kalau ikutkan hati, malas juga hendak bersenam kerana dah lama ditinggalkan. Namun kerana inginkan badan yang Sihat dan Kuat, maka ana lawan juga perasaan malas itu. Sayang pula rasanya kalau sudah jadi amalan bertahun-tahun, kita tinggalkan begitu sahaja.

Ana masih ingat lagi sewaktu ana mula-mula bersenam dulu..... pada bulan Mac 2008. Pada waktu itu, naik tangga pun penat, berdiri lama pun penat, berjalan pun penat dan berlari lagilah penat. Bersenam jauh sekali. Makan roti canai dan nasi lemak hampir setiap pagi. Sehinggalah ana mengalami sakit mencucuk di dada sebelah kiri, kebas dari bahu hingga ke tangan kiri. Sukar bernafas sehingga berpeluh. Kepala sakit macam nak pecah. Kerana sudah tidak tahan sakit, maka ana pun pergilah ke hospital untuk buat pemeriksaan. Setelah pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan ana ada masalah jantung. Ana dilarang melakukan kerja berat. Apa lagi.... terkejutlah ana. Sepanjang perjalanan pulang, tanpa sedar airmata ana mengalir. Bukan kerana takut mati.... tetapi sedih kerana anak masih kecil. Mereka perlukan kasih sayang . Mereka perlukan perlukan makanan. Mereka perlukan tempat tinggal. Mereka perlukan pendidikan dan mereka perlukan segala keperluan untuk hidup. Paling penting ialah mereka perlukan doa restu untuk terus hidup dan berjaya.

Sejak itu ana terus berdoa semoga dipanjangkan usia dan sihat walafiat. Sejak itu ana mula jaga kesihatan. Sejak itu ana mula lakukan senaman. Sejak itu juga ana mula jaga makan. Alhamdulillah .... kini ana lebih Sihat dan Kuat. Lebih Yakin dan Istiqamah. Memang benar, musibah itu adalah sebaik-baik pengajaran kepada insan yang berfikir. Jangan tunggu sehingga anda lumpuh kerana strok, jangan tunggu sehingga kaki anda dipotong kerana kencing manis dan jangan tunggu sehingga anda terlantar kerana sakit kronik baru hendak bersenam. Oleh itu Mari Bersenam!

Tiada ulasan: