Semangat Keemasan berkobar-kobar untuk tinggal di asrama. Lawatannya ke sekolah berasrama penuh ketika melawat kakaknya bebarapa tahun lalu meyakinkannya untuk tinggal di asrama. Segala peralatan telah dibeli. Bayaran asrama dan makan juga telah dibayar. Hari pertama Keemasan tinggal di asrama menampakkan dia kurang selesa. Terkejut bukan main bapanya apabila Keemasan memberitahu dia hendak keluar asrama. Bapanya enggan. Namun Keemasan tidak putus asa dan meminta bantuan ibunya untuk memujuk bapanya.
Akhirnya, pada hari ketiga Keemasan tekad keluar asrama. Keemasan sudah jangka bapanya pasti akan naik angin. Tapi Keemasan punya alasan tersendiri. Dalam perjalanan pulang bapanya membebel sepanjang jalan. Keemasan hanya mendiamkan diri. Mungkin suatu hari nanti bapanya akan mengerti mengapa dia keluar asrama... Bagi Keemasan, tidak mungkin dia mampu untuk berdepan dengan bapanya yang panas baran itu. Hanya satu jalan sahaja bagi menjelaskannya iaitu melalui ibunya... Hanya ibunya akan memahami perasaannya.... perasaan seorang remaja perempuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan