Rabu, April 04, 2012

Jaguh Kampung

Alhamdulillah, selamat bertemu kembali setelah beberapa hari tidak bersama di alam maya kerana 'jammed'. Pagi ini ana tidak turun padang kerana hujan. Hujan turun sejak malam tadi. Jadi, selepas hantar anak-anak ke sekolah, ana terus masuk pejabat. Teringat pula hendak sambung cerita tentang kisah Ali dan Ahmad, anak Pak Salleh yang pernah ana ceritakan dalam tajuk-tajuk yang lalu.

Kenakalan mereka semakin menjadi-jadi
sejak tahun lalu. Fikiran Pak Salleh dan isterinya semakin buntu. Pujukan, nasihat, amaran, ancaman dan merotan sudah dilakukan. Macam-macam usaha telah dibuat tetapi masih belum membuahkan hasil. Guru-guru di sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama sudah tidak ambil kisah hal mereka. Berkelahi sesama murid, datang lewat, ponteng dan engkar perintah guru sudah sebati dengan jiwa mereka. Sehingga ada di kalangan guru yang menyuruh mereka berhenti sekolah ataupun pindah sekolah. Pernah pada tahun lalu, Pak Salleh membuat permohonan memohon cuti satu bulan bagi menenangkan anaknya dan juga para guru tetapi pihak sekolah tidak membenarkan. Pak Salleh juga pernah mengadakan perbincangan dengan guru besar dan guru-guru bagi membantu anaknya tetapi masih belum ada perubahan.

Sebenarnya Pak Salleh sudah hilang sabar. Ali dan Ahmad bukanlah murid yang lemah. Pada tahun satu dan dua, pencapaian mereka agak baik juga. Pencapaian lebih 70% di dalam peperiksaan akhir tahun dan lulus dalam semua subjek. Namun segalanya mula berubah sejak mereka memasuki tahun 3. Setelah mereka mula mengenali kawan-kawan yang nakal di sekolah dan mula bercampur dengan kawan-kawan di taman perumahan kampung berdekatan. Mereka sudah mula keluar malam, tidak membuat kerja sekolah dan malas mengulangkaji pelajaran. Perwatakan mereka semakin kasar, pantang ditegur pasti meradang dan keluar rumah. Pada waktu itu, Pak Salleh pula amat sibuk dengan kerjanya sehingga menyerahkan bulat-bulat kepada isterinya.

Kini, Pak Salleh mula menyedari kesilapannya, mula berbincang dengan isterinya, mula berbincang dengan guru-guru anaknya dan sudah mula meluangkan masa untuk mereka. Namun hati Ali dan Ahmad sudah keras, sudah berani bercakap kasar kepada ibu bapa, sudah mula menengking adik-adik, sudah berani memukul adik-beradik dan sudah berani keluar sehingga larut malam. Pernah mereka tidak pulang ke rumah pada malam cuti sekolah.

Pak Salleh dan isteri hanya mampu menangis, berdoa dan mengadu kepada Ilahi. Mereka pasrah. Namun sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, mereka terus berdoa semoga Ali dan Ahmad dibukakan pintu hati mereka agar mendekati agama, agar mendekati al-Quran dan agar mereka mula berminat untuk belajar semula. Pernah terlintas di hati Pak Salleh, apakah dosa-dosanya yang lampau telah menyebabkan hati anaknya begitu keras sekali. Ali dan Ahmad bukan sahaja telah merosakkan diri mereka, tetapi juga telah menyusahkan orang lain juga. Rakan-rakan sekolah, guru-guru, masyarakat setempat dan ahli keluarga mencemuh mereka, menghina mereka dan memandang sinis kepada mereka. Mereka ibarat Jaguh Kampung, tiada tandingan kenakalan mereka di kalangan rakan sebaya.

Namun, sebagai ibu bapa kandung, seburuk manapun mereka, mereka tetap tanggungan Pak Salleh. Bagi Pak Salleh, anak mereka itu putih bersih, belum menanggung dosa. Inilah sahaja kata-kata azimat yang masih menguatkan azam Pak Salleh untuk terus mentarbiyah anaknya, untuk terus berdoa dan berusaha tanpa rasa jemu. Mudah-mudahan suatu hari nanti, akan ada sinar baru buat Ali dan Ahmad.

Tiada ulasan: