Beberapa hari yang lalu, ana ke rumah pengerusi taman bersama 3 anak perempuan untuk berhari raya. Setiba di sana, kami dijemput masuk. Sjn M beritahu ana, ada ahli kariah yang meninggal dunia di hospital TI. Ana bertanya siapa nak uruskan. Sjn M kata, "Ini yang masalahnya. Simati tu...
tak masuk badan khairat." Ana kata, " Masuk ke tak masuk ke, dah meninggal di taman kita kenalah kita uruskan. Takde anak ke orang tu?". Sjn M jawab, " Ni yang kesian sangat ni, simati ada seorang anak perempuan, dalam pantang, menantunya pulak dalam penjara. Adalah seorang cucunya yang sekolah rendah tu. Saudara mara pulak taktahu kat mana." Ana terdiam seketika. Selepas minum dan bermaafan, kami pun pulang.
Sepas solat Isyak di masjid, ana mendapat banyak misscall. Ana call-bact Hj T, tapi tak jawab. Ana pun teruslah beraya di rumah jiran bersama 3 anak lelaki. Jam 9.30 mlm, Sjn M datang rumah. "Ustaz, tolong datang ke rumah simati kerana jenazah dah sampai, tapi takde orang di sana, Ust A dah tunggu di sana," kata Sjn M. Ana pun pergilah ke sana bersama seorang anak lelaki. Tiba di sana, kami pun bincang-bincang sambil menulis jemputan untuk solat jenazah esoknya. 10 untuk taman sebelah dan 30 untuk jemaah subuh di masjid esok. Kemudian kami pun masuk ke dalam rumah untuk membaca yasiin dan bertahlil.
Sebaik sahaja ana melangkah masuk, alangkah terkejutnya ana apabila melihat sebujur mayat betul-betul di depan pintu masuk rumah. Ruang tamunya hanya seluas bilik tidur. Cat dindingnya yang dah luntur dihias dengan contengan pensil dan tompok-tompok hitam Langsirnya pula sudah lusuh. Kami duduk pun di atas tikar getah yang dah koyak-koyak. Tiada apa yang menutupi mayat melainkan kain putih dari hospital sahaja. Tiada saudara mara, hanya kami 5, 6 orang sahaja. Ya Allah, masih adakah hambaMu sadhaif ini... ampunilah kami... kerana tidak mengambil berat akan jiran kami. Ampunilah kami di atas kelalaian kami, kerana kesibukan bekerja sehari-hari, kami lupa jiran sendiri... kais pagi makan pagi. Selepas membaca surah Yasiin, tahlil dan doa, Ust A meninggalkan 2 buah surah Yasiin di sisi mayat untuk dibaca oleh orang kemudian. Hj T, jiran simati menjemput kami ke rumahnya untuk jamuan ringan.
Keesokannya, ana ke balairaya untuk solat jenazah. Jenazah tiba dengan van jenazah masjid, diiringi cucu lelaki simati yang masih kecil bersama seorang lagi budak... tanpa orang dewasa. Sekali lagi ana tersentuh hati. Tepat jam 9.00 pagi jenazah disembahyangkan di balairaya taman, sebahagian besarnya orang masjid. Selepas solat jenazah, Ust A menyeru para jemaah, " Pohon dimaafkan segala kesalahan mayat ini, halalkan mana yang termakan dan terminum. Jika simati ada berhutang, pohon dihalalkan kerana kedhaifannya. Semoga ianya menjadi amal jariah kita." Itulah pertama kali seumur hidup, ana dengar hutang simati minta dihalalkan selepas jenazah disolatkan.. Selepas itu, ana iringi jenazah hingga ke kubur. Tiba di kubur, ana kira tak sampai 20 orang yang hadir termasuk 4 orang penggali kubur dan beberapa orang kanak-kanak. Ana usung jenazah sambil menahan nafas kerana tak tahan dengan bau mayat kerana dah 2 malam tak diuruskan.
Dalam perjalanan pulang, sempat ana bertanya kepada rakan ana, " Ust, kalau kita mati nanti, siapalah yang akan urus jenazah kita ye?". Rakan ana terdiam sambil berkata, "Tak tahulah. Mintak-mintak biarlah ada orang yang urus jenazah kita." Ana sebak dan terus memandu pulang. Beberapa hari ana fikirkan hal ini... sehinggalah catatan ini dibuat. Semoga para pengunjung mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Sehebat manapun kita, sekaya mana pun kita.... bila mati, orang lain juga yang akan menguruskan jenazah kita. Tak mungkin kita sendiri akan menguruskannya! Tak mungkin orang sehebat kita, sekaya kita akan menguruskannya! Melainkan para imam, para bilal, para siak, para penggali kubur serta para muslimin dan muslimat yang beriman. Yang paling kita sesal ialah jika jenazah kita diurus oleh orang yang pernah kita pijak, orang yang pernah kita hina dan orang yang pernah kita abaikan kehidupan mereka. Oleh itu, berbuat baiklah sesama manusia, taatilah Allah dan taatilah Rasul.
2 ulasan:
tajuk yang menyentuh hati..waa sedihnya,,,kesian simati itu...semoga Allah memberi kekayaan beliau di akhirat...untuk anak-anak muda hargailah ibu bapa kita yang masih hidup...ustaz saya pernah berpesan..ketika ibu bapa kita meninggal,jgn biarkan org lain yang menguruskan dan menjadi imam kepada jenazah mereka melainkan anak-anaknya sendiri....
Tk. Semoga Mawar Simpati mendapat iktibar. Berusahalah supaya menjadi anak solehah, mendoakan ibubapa serta tidak mendukacitakan mereka apabila mereka tua.
Catat Ulasan