Selasa, Ogos 31, 2010

Merdekakah Kita?

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Hari ini kita masih beruntung kerana masih ada lagi pejuang kemerdekaan yang masih hidup. Nikmat keamanan, kemajuan dan pembangunan masakini adalah hasil perjuangan
mereka menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Pengalaman mereka harus dikongsi agar generasi kini lebih menghargai pengorbanan pejuang terdahulu. 

Zaman penjajahan Jepun, orang Melayu terpaksa makan ubi kayu kerana padi dirampas. Mereka yang menentang, akan disepak, diterajang, diberi minum air sabun sebelum perut dipijak atau dipancung. Orang Melayu lebih bersatu walaupun dalam keperitan dan kesusahan.
Zaman penjajahan Inggeris, orang Melayu dimanjakan, dibiar tinggal di kampung, bertani dan menangkap ikan. Pendatang China dan India dibawa masuk bekerja di lombong bijih, estet dan berniaga. Pejuang agama dan bangsa Melayu yang gagah berani diistihar sebagai penderhaka, pemberontak dan perusuk. Maka ramailah yang mati dibunuh. 

Kini, walaupun negara kita telah 53 tahun merdeka, tetapi merdekakah kita? Merdekakah jiwa kita? Merdekakah akal fikiran kita? Merdekakah tindakan kita?
Walaupun negara kita telah merdeka tetapi tabiat penjajah masih ada. Malah lebih buruk daripada penjajah. Isteri dan anak disepak, diterajang, didera. Anak-anak diperkosa. Adik-beradik berebut pusaka. Para pemimpin bertelagah  merebut kuasa. Amalan riba dan ceti berleluasa. Pergaulan bebas di mana-mana. Bayi dibunuh kejam dibuang merata-rata. Sibuk bekerja mengumpul harta. Amalan solat sudah tiada. Nasihat ibu bapa sudah dilupa. Anak-anak semakin derhaka. Ibu bapa tidak lagi dijaga. Merdekakah kita?

1 ulasan:

Keemasan berkata...

Betul kata Motivasi5k merdekakah kita? kita kenalah bersyukur kerana pemimpin kita masih ada. jikalau tidak, mungkin kita tidak akan hidup dengan aman dan damai di muka bumi ini..