Khamis, Oktober 07, 2010

Curi Duit Ayah

Pak Salleh (bukan nama sebenar) marah lagi. "Mana perginya duit abang, Ton?" tanya Pak Salleh kepada isterinya Zaiton (bukan nama sebenar). "Manalah Ton tahu, abang letak kat mana? Cubalah ingat betul-betul!" jawab Zaiton. "Abang letak dalam poket baju ni lah. Malam tadi abang letak. Ni mesti ada yang ambil!" sambung Pak Salleh. Hari itu memang Pak Salleh hilang sabar, selalu sangat duitnya hilang..
Nak tuduh anak-anak, tak ada bukti. Tanya satu persatu pun tak ada yang mengaku. Takkan toyol pula yang ambil, fikirnya.

Pak Salleh panggil anak-anaknya, "Siapa ambil duit ayah ha!"  bentaknya.  Ketiga-tiga anaknya yang masih bersekolah rendah itu tak mengaku. "Bukan saya.... bukan saya." jawab Ali. Ahmad pun tak mengaku juga. Alias pun sama, tak mengaku juga. "Baiklah. Kalau semua tak mengaku tak apa. Ayah akan tunaikan solat hajat dan baca Yasiin, mintak Allah tunjukkan siapa yang ambil." kata Pak Salleh.

Sejak hari itu, Pak Salleh pun memohon supaya Allah tunjukkan siapa pencuri duitnya. Membaca Yasiin, solat hajat dan berdoa. Tak lama kemudian, ketika mengemas bilik tidur, Zaiton menemui duit RM50 di bawah tilam anak mereka. Zaiton segera memaklumkan kepada Pak Salleh. Pak salleh segera pulang dan melihat duit itu. "Dari mana mereka dapat duit ni?" tanya Pak Salleh kepada isterinya. Pak Salleh ambil duit itu dan simpan.  Mereka dah sepakat nak lihat gelagat anak mereka.

Pada malam itu, Ali, Ahmad dan Alias mencari sesuatu dalam bilik mereka. Macam kucing nak beranak. Bising dan resah. Seperti ada barang hilang. Setelah didesak, akhirnya mereka mengaku mencuri duit ayah mereka. Bukan sekali, tetapi dah berkali-kali. "Tapi, macam mana duit tu boleh jadi kertas putih ya?" tanya mereka. Pak Salleh hanya menjawab, "Itulah akibatnya kalau mencuri dan bercakap bohong. Suatu hari nanti, Allah akan tunjukkan juga siapa yang bersalah." Sejak hari itu, mereka tidak lagi mencuri duit ayah mereka. Kalau mereka nak duit, mereka akan minta daripada ibu dan ayah mereka.

Begitulah adik-adik. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga. Jika kita mencuri dan bercakap bohong, suatu hari nanti pasti akan terbongkar juga. Kepada adik-adik, jagala harta benda ibu dan ayah. Jika perlukan duit, bercakap benarlah. Mintalah secara baik. Insya-Allah tentu ibu dan ayah akan memberikannya. Jumpa lagi.

1 ulasan:

Keemasan berkata...

Salam..saya harap orang ramai ambil iktibar dengan cerita ini..MasyaAllah..kawan-kawan jangan mencuri tau!!lagi-lagi duit ayah kita sendiri.. harap pembaca sekelian tidak menjadi seorang pencuri..