Ahad, Oktober 24, 2010

Kucupan Terakhir

"Hello! Abang ye?" itulah panggilan yang masih dalam ingatan Basri (bukan nama sebenar). "Ya. Siapa ni?" jawabnya. "Ini.... Ina. Nak bagi tau kakak dah tak ada..." kata Ina, adik iparnya. "Kakak pergi mana?" tanya Basri. "Ka..kak dah me...ninggal bang! ."
jawab Ina tersekat-sekat. Basri terus terdiam. Secara tiba-tiba air matanya mengalir deras. Rakan sepejabatnya terus bertanya "Mengapa Basri?". "Orang rumah aku... dah meninggal. Aku... nak balik kampung ni." jawabnya ringkas. Belum sempat dia keluar dari pejabat, satu pengumuman telah dibuat tentang berita sedih ini kepada semua staf. Basri tanpa lengah terus pulang ke kampung mertuanya di utara Semenanjung. Dalam perjalanan pulang itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Fikirannya buntu. Hatinya resah. Jantungnya berdebar. Dia terus memecut laju.

Setibanya di rumah mertuanya, dia lihat telah ramai orang berhimpun. Hatinya semakin resah. Airmatanya terus mengalir. Teringat saat-saat akhir bersama arwah isterinya. Tiba-tiba terbayang wajah dua orang anak perempuannya yang masih kecil. "Aku tak boleh menangis. Aku mesti bertenang. " bisik hatinya. Basri terus pergi ke parit depan rumah, mengambil wuduk dan terus naik ke atas rumah tanpa melihat jenazah isterinya. Tanpa bertanya khabar ipar duainya. Dia terus solat dua rakaat, memohon keampunan untuk dirinya dan arwah. Memohon agar diberi kekuatan dan kesabaran. Biarlah airmatanya mengalir deras tanpa dilihat oleh keluarganya. Tanpa dilihat oleh kedua anaknya. Biarlah Allah sahaja yang menyaksikan kesedihan ini. Biar Allah sahaja yang mendengar tangisannya. Hanya kepada Allah dia merintih dan menangis sepuas-puasnya. Tiada siapa pun yang menghampirinya kecuali Allah. Tiada siapa yang melihatnya kecuali Allah.

Setelah air matanya terhenti, fikirannya semakin tenang. Dia mengatakan pada dirinya bahawa dia mesti menghadapi situasi ini dengan tenang. Menerima ketentuan Ilahi walaupun dengan hati yang berat sekali. Dia turun ke bawah rumah kayu dua tingkat itu, perlahan-lahan dia menghampiri sebujur jasad yang telah kaku, ditutupi dengan kain putih. Adik-adik ipar dan saudara terdekat mengelilingi jenazah sambil membaca surah Yasiin. Tiba-tiba dua anak perempuannya menghampirinya. Memeluk kakinya.  Basri tersentak. Airmatanya mengalir perlahan. Dipegangnya bahu kedua anaknya. Mereka duduk di sisi jenazah. Dengan perlahan dan sebak Basri berkata, "mama dah tiada.." sambil memeluk anak-anaknya. Kedua anaknya hanya mendiamkan diri. Tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Kepada mereka, mamanya sedang tidur seperti biasa ketika sakit dulu.

Perlahan-lahan Basri membuka kain yang menutupi wajah arwah. Lama direnungnya wajah itu. Hatinya berkata, "Ya Allah... dengan ikhlas aku ampunkan segala kesalahannya. Aku redha pemergiannya. Oleh itu Engkau ampunilah segala dosa dan kesalahannya. Tempatkan dia bersama-sama orang yang beriman." Dipegangnya wajah itu. Kemudian Basri mengambil Surah Yasiin dan membacanya. Ketika dia membaca beberapa ayat, airmatanya terus mengalir. Suaranya tersekat-sekat. Adik-adik iparnya yang masih bersekolah yang berada di sisi jenazah juga tak dapat menahan sebak. Basri kuatkan semangat. Dia menyambung bacaan dengan lebih perlahan. Petang itu, saudara mara dan kenalan  semakin ramai yang datang berkunjung.  Memandangkan hari telah lewat petang, ahli keluarga memutuskan jenazah akan dikebumikan esok.

Awal pagi keesokannya, lebih ramai orang datang berkunjung menziarah dan mengucap takziah. Ketika jenazah hendak dimandikan, Basri meminta izin supaya jenazah itu diuruskan olehnya dan ahli keluarga sahaja. Basri meminta adik-adik ipar dan ibu saudara menguruskannya. Kepada Basri, inilah penghormatan terakhir yang dapat diberikan. Setelah selesai dimandikan, jenazah pun dikapankan. Setelah itu, mereka mengumumkan sesiapa yang hendak menatap wajah jenazah untuk kali terakhir. Dimulakan dengan saudara mara, adik beradik dan akhirnya tibalah giliran Basri dan dua anaknya. Basri pun meminta kedua anaknya memberi kucupan terakhir untuk ibu mereka. Dimulakan dengan anak sulungnya yang berumur 4 tahun memberi kucupan terakhir di dahi dan pipi  ibunya. Melihat situasi itu, maka terdengarlah tangisan orang ramai yang tak dapat menahan rasa pilu. Kemudian diikuti dengan anak keduanya yang berumur 2 tahun memberi kucupan terakhir. Kini giliran Basri pula. Lama direnungnya wajah itu. Dia berfikir pantas, samada nak memberi kucupan terakhir ataupun tidak. Jika dia memberi kucupan terakhir, sudah tentu dia tidak akan dapat menahan sebak dan hilang kawalan diri. Basri tak mahu  anak-anaknya melihat dia menangis di sisi mama mereka. Basri tak mahu melihat ibu mertua dan adik-adik iparnya yang masih kecil turut bersedih dan menangis. Basri hanya mengusap wajah isterinya tanda selamat berpisah. Tak mampu untuk dirinya memberi kucupan terakhir.  Basri memberi isyarat supaya jenazah ditutup rapat.

Kemudian jenazah dibawa ke masjid berhampiran untuk disolatkan. Kepada Basri, masjid itu tak mungkin dapat dilupakan. Di masjid itulah mereka dinikahkan. Dan kini, di masjid itu jugalah mereka 'dipisahkan.' Setelah selesai disolatkan, jenazah pun dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Mulai malam itu, majlis tahlil diadakan di rumah ibu mertua Basri. Malam itu, Basri tidur bersama anak-anaknya. Keesokannya, pagi-pagi lagi basri telah keluar menziarahi kubur isterinya seorang diri. Setiap pagi dan petang Basri ke kubur. Hatinya amat sedih dan kesal. Dia sedar, ada yang tak kena dengan dirinya. Ingatannya semakin kuat apabila tiba di rumah mertuanya. Segala yang dilihat akan mengingatkannya kepada isterinya. Pada keesokannya, Basri bertemu ibu mertuanya sambil berkata, "Mak... izinkan saya balik ke KL." Mereka berasa hairan mengapa Basri nak balik awal. Belum cukup 3 hari 3 malam. Namun ibu mertuanya memahami situasi itu. Maka Basri pun pulanglah ke ibu kota seorang diri, membawa diri dan ingin merawat diri. Meninggalkan pusara isteri. Meninggalkan kedua anaknya yang masih tidak memahami apa yang terjadi. Basri tahu dia mesti 'Bertemu Guru' bagi merawat diri.

Dalam perjalanan pulang, Basri berbisik tanda bersalah dan kesal  "Maafkan abang kerana terpaksa pulang awal. Maafkan abang kerana tidak mampu mendapatkan rawatan pakar bagi merawatmu. Maafkan abang kerana tidak mampu mendapatkan rawatan daripada perawat Islam tulen. Maafkan abang kerana kedhaifan abang.  Maafkan abang kerana tidak mampu untuk mengimamkan solat jenazahmu. Maafkan abang kerana kerana tidak mampu memberi kucupan terakhir  ... ".

2 ulasan:

Jayalani berkata...

Sudahlah. Barang yang lepas jangan dikenang sangat. Semuga rohnya diterima Allah. Kehidupan harus diteruskan walaupun perit. Terima kasih beri peluang aku membaca novelmu.Secawan tumpah airmataku.

MBH Galleri berkata...

Sekali baca saya fikir saya tahu ini kisah siapa.. Semoga Allah menempatkannya bersama para syuhada'. Semoga Allah membalas ganjaran kepada 'Basri' yang telah membesarkan dua orang anaknya sehingga kini.. Amin