Khamis, Oktober 28, 2010

Tak Cukup Masa

Pagi tadi  hujan lebat. Walaupun kereta tak besar tapi cukuplah untuk membawa 5 orang anak ke sekolah. Terfikir juga ana,  bahawa kereta sekarang sudah menjadi satu keperluan. Sewaktu ana bersekolah dulu...
memiliki kereta itu dianggap satu kemewahan. Waktu itu, kalau yang datang ke sekolah tu menaiki kereta, kami dah jangka itu mesti anak cikgu ataupun anak DO. Yang lain-lain tu naik basikal dan motor aje la. 

Dalam perjalanan mengharungi hujan lebat itu, ana sempat juga bersoal jawab dengan anak-anak. " Hari ini ada periksa ke?" tanya ana. "Ada. Adik habis hari ni. Kakak habis besok." jawab anak perempuan ana. "Amat jawab soalan betul-betul ke main-main?" tanya ana kepada anak lelaki  pula. "Ala.... saya bantai aje." jawabnya ringkas. "Abah! Semalamkan, waktu Matematik, ada 40 soalan. Kakak jawab betul-betul 20 soalan je, yang 20 lagi kakak bantai je.." anak perempuan ana mencelah. "Hah! kenapa pulak? tanya ana. "Tak cukup masa. Yang kesian tu ada seorang budak lelaki tu boleh jawab 6 soalan sahaja, yang lain tu semuanya hentam je. Tak cukup masa jugak." jawabnya. "Kakak tak bahagikan masa ke? Tengoklah jam, 1 soalan 1 minit sahaja. Kalau tak boleh jawab, tinggalkanlah soalan tu. Buat soalan lain. Nanti bila ada masa lebih, barulah jawab balik, faham!" kata ana menjelaskannya. "Ala bah... budak yang paling pandai dalam kelas tu pun tak cukup masa. 6 soalan lagi dia bantai aje.." katanya lagi. Ana pun terdiam seketika. Apabila tiba di sekolah, ana beri seorang seringgit. Setelah bersalaman, 4 orang daripada mereka pun turun.

Dalam perjalanan ke pra-sekolah anak ana, terlintas di hati kecil ana, mengapa anak ana  dah tahun 5 pun masih tak cukup masa apabila menjawab soalan peperiksaan. Inilah yang menjadi masalah utama murid Melayu iaitu tak cukup masa. Pada ana, murid-murid ini mestilah diberi latihan mengikut masa dalam peperiksaan. Tak kiralah samada latihan itu dibuat di sekolah ataupun di rumah. Ana fikir, para guru dan ibu bapa mesti diberi kesedaran tentang perkara ini. Ana tak mahu anak bangsa kita yang rajin membuat kerja sekolah, yang rajin datang ke sekolah setiap hari tetapi mengadu tak cukup masa apabila menjawab soalan peperiksaan. Jika ini berlaku, amat malanglah anak bangsaku. Bukan semua ibu bapa sedar perkara ini. Ana harap, para guru akan lebih berdidikasi dalam mendidik anak murid.

Cuma yang ana bimbangkan ialah apabila para guru mengadu tak cukup masa untuk mengajar anak murid mereka. Para ibu bapa pula mengadu tak cukup masa nak mendidik anak-anak mereka. Jika ini yang berlaku, maka ana tak nak komen apa-apa. Ana serahkan perkara ini kepada para guru besar, para pengetua dan kementerian pendidikan untuk mengatasinya. Tapi jika mereka pun berkata, kami pun tak cukup masa... maka tunggulah saat kegagalan anak bangsa dalam peperiksaan yang sebenar. Oleh itu, jangan jadikan tak cukup masa sebagai alasan untuk melepaskan tanggungjawab masing-masing. Jangan sampai kita  tak cukup masa pula nak menjawabnya apabila ditanya oleh dua orang malaikat kelak. Sekian dan jumpa lagi. Bye.

1 ulasan:

Keemasan berkata...

Salam..motivasi5k sihat? kalau motivasi nak tahu tajuk yang palik sy sukai adalah tajuk ini iaitu 'Tak Cukup Masa'..sy pun mcm motivasi5k juga risau jikalau guru berkata Tak Cukup Masa..sy merayu agar guru-guru di luar sana janganlah sesekali berkata Tidak Cukup Masa untuk mengajar anak-anak muridnya..