Fikiran Zack (bukan nama sebenar) masih buntu. Serba serbi tidak kena. Sejak Zack mendapat keputusan STPM dua minggu lalu, fikirannya tidak tenang. Kecewa benar dia. Hampir dua tahun bertungkus lumus belajar, hanya mampu dapat 1.++ sahaja. Tetapi dia memang jujur. Apabila majikannya bertanya keputusannya, Zack beritahu terus terang. Majikannya sempat bertanya, "Zack, rakan-rakan kau macam mana?". Zack pun menjawab, "Kalau saya pun dapat macam ni, ramai lagi yang teruk boss."
Daripada jawapan itu, ternyata Zack bukan calang-calang pelajar. Kesungguhan belajar memang ada tapi mungkin teknik belajar dan menjawabnya kurang baik. "Habis kau nak buat apa?" tanya bossnya lagi. "Saya hendak ambil sekali lagi. Saya nak belajar kaw-kaw!" jawabnya. Zack mohon untuk terus bekerja sambil belajar. Majikannya memang amat menggalakkan Zack ambil sekali lagi STPM. Zack memang tidak mahu ke IPTS kerana tidak mahu banyak hutang.
Namun hari ini Zack berubah fikiran. Dalam diam-diam Zack memohon ke IPTS. Zack fikir jika ambil STPM pun belum tentu dapat keputusan cemerlang. Zack telah 'diracuni' rakan-rakan. Mood untuk belajar di IPTS di utara Semenanjung semakin menebal. Zack tekad. Zack beritahu majikannya mungkin yang dia hendak berhenti kerja bulan Jun depan. Bagi majikannya, itu hak Zack.. terserahlah kepadanya untuk memilih.
Motivasi5k ingin memberi pandangan peribadi dalam kes ini. Apapun keputusan yang Zack buat mestilah dibuat dengan tenang. Fikir habis-habis. Pilihlah yang terbaik. Lakukan solat istiharah. Mohon petunjuk daripada Allah. Jangan ikutkan hati... nanti mati. Jangan ikutkan nafsu... nanti lesu. Semoga Zack berjaya dalam apa juga keputusan yang diambil, yang penting ialah teruskan belajar! Dapatkan segulung ijazah bagi membina kerjaya yang lebih cemerlang. Selamat berjaya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan