Sabtu, Ogos 06, 2011

Merpati Putih

Subhanallah... Maha Suci Allah. Sesungguhnya tidaklah Engkau jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Sesungguhnya setiap makluk yang Engkau ciptakan, sudah ditentukan rezekinya..
Memang sudah lama Basir perhatikan. Memang sudah lama Basir fikirkan dan memang sudah lama ana runungkan. Memang benar. Apabila Basir melihat, memikir dan merenung... barulah datang keinsafan dalam dirinya..

Kali ini ana  hendak paparkan kisah Basir dan Burung Merpati. Di Sungai Besar ni memang banyak burung merpati. Burung merpati tidak bertuan melainkan bertuankan Allah. Ketika Pasar Awam Sg Besar yang lama dulu belum dirobohkan 10 tahun lalu, memang banyak burung merpati di sana. Pagi-pagi Basir lihat beberapa peniaga kedai runcit mencampakkan bijirin untuk dimakan oleh burung merpati. Yang menghairankan Basir ialah peniaga yang murah hati itu ialah peniaga Cina yang bukan Islam. Pernah juga Basir melihat Mamak menabur bijirin di depan kedai mereka untuk dimakan oleh burung merpati.

Beberapa bulan yang lalu, ketika Basir minum cendol di sebuah gerai di Klang, Basir lihat Mamak Cendol tu juga menabur bijirin ke jalan untuk dimakan oleh burung merpati. Basir lihat dengan matanya sendiri bagaimana Mamak tu mengambil bijirin daripada bekas yang diletakkan di atas rak. Bukan baru-baru ni je Mamak tu menabur bijirin, tetapi sudah puluhan tahun. Sejak zaman bapanya lagi. Jadi Mamak tu bukan saja mewarisi perniagaan bapanya, tetapi juga mewarisi tabiat baik bapanya iaitu memberi makan kepada burung merpati.

Kelmarin, ketika Basir memandu kereta bersama anak sulungnya, mereka terlihat seorang Cina sedang menabur gandum di atas jalan. Memberi makan kepada burung merpati berhampiran stesen bas Sg Besar. "Kakak tengoklah Cina tu... bagi makan burung merpati. Padahal burung merpati tu bukan dia punya. Inilah kebesaran Allah. menjanjikan rezeki kepada setiap makluk yang diciptakannya." kata Basir kepada anaknya. Anak Basir hanya mengiyakan sahaja.

Selang sepintu dengan kedai Basir, ada sebuah restoran yang baru dibuka semula. Sudah lebih enam orang cuba berniaga tapi semuanya cabut lari. Tapi kali ini mamak pula yang datang berniaga. Pagi-pagi lagi sudah buka perniagaan. macam-macam dijualnya. Itulah lebihnya Restoran Mamak! Namun yang amat menyentuh hati basir ialah apabila setiap pagi dan petang mamak ni akan menabur bijirin di depan kedai. Memberi makan kepada burung merpati. Memang benar janji Allah! jika kita bersedekah, akan bertambahlah rezeki kita. Basir lihat kedainya tak pernak kosong. Ada sahaja pelanggan yang datang dari pagi hingga ke malam. Namun sejak awal ramadan yang lalu, mamak tu sudah tidak manabur lagi bijirin di awal pagi kerana kedainya ditutup. Tetapi ketika kedai dibuka di waktu petang, mamak tu mulakan dengan menabur bijirin lagi.

Dalam diam-diam, Basir telah memulakan menabur bijirin di waktu pagi di depan kedainya. Sesungguhnya banyak iktibar yang dapat Basir dapat daripada peristiwa menabur bijirin kepada burung merpati. Basir insaf. Mungkin selama ini Basir amat kedekut kepada haiwan. Juga  mungkin sesama manusia. Amat berkira. Padahal menabur bijirin itu juga adalah sedekah. "Ya Allah... ampunilah aku. Engkau lembutkanlah hatiku. Berikanlah rasa belas kasihan dalan diriku ini..." rintih Basir. Mungkinkah kali ini Basir akan pulih kembali daripada kejatuhan dalam perniagaannya. Kehadiran burung merpati di hadapan premis perniagaannya amat menghiburkan hatinya. Menenangkan fikirannya. Gelagat merpati berjalan terkedek-kedek mencuit hatinya. Tidak terkecuali seekor Merpati Putih juga turut bersama. 
Motivasi5k sentiasa berdoa semoga perniagaan Basir akan  pulih, semakin berjaya dan semakin diberkati Allah. Amiiin.

Tiada ulasan: