Rabu, Ogos 10, 2011

Ramadhan Mengajar Basir

Tidak seperti Ramadhan yang lepas-lepas, Ramadhan kali ini banyak mengajar Basir. Semuanya gara-gara Jatuh Miskin. Mana tidaknya, jika Ramadhan yang lepas-lepas awal-awal lagi Basir sudah membeli kain dan menempah baju kurung dan baju melayu anak-anak, tapi Ramadhan kali ini...
tiada tempahan dibuat. Sepupunya, seorang tukang jahit pernah bertanya kepadanya beberapa bulan yang lalu, "Hang (yang bermaksud kamu dalam loghat Kedah) tak nak tempah baju ke. Kalau lewat nanti aku dah tak terima. Tak sempat nak jahit pakai Hari raya." Basir pun menjawab, "Tahun ni aku tak tempahlah, Tak ada duit."

Bukan setakat pakaian raya saja, makan minum di bulan Ramadhan kali ini juga hanya ala kadar. Nasib baiklah masjid di tempatnya ada memasak bubur lambuk setiap hari untuk diagih-agihkan kepada jemaah dan orang ramai. Dapatlah juga Basir menjimatkan wang membeli juadah berbuka puasa. Pernah satu hari, kerana kekurangan juadah, Basir hanya makan kurma, air sejuk dan bubur lambuk sahaja. Yang lain-lain lebih direlakan untukdimakan oleh anak-anaknya. Barulah Basir insaf, betapa susahnya hidup dalam kemiskinan. Jika dulu awal-awal pagi lagi Basir sudah tahu apa hemdak makan waktu berbuka, tapi hari ini Basir tidak dapat jangkakan apakah juadah untuk berbuka. Yang pasti ialah kurma dan air masak. Benarlah Ramadhan telah mengajar Basir merasai susahnya para fakir dan miskin.

Jika dulu banyak makanan yang terbuang kerana berlebihan, tetapi sekarang tidak lagi. Semua makanan yang terhidang habis dimakan. Benarlah Ramadhan mengajar Basir supaya tidak membazir.

Jika dulu api dan air digunakan digunakan sepuas-puasnya, tetapi sekarang Basir sudah mula berjimat. Seringkali Basir menegur anak-anaknya supaya tutup paip dan suis jika tidak digunakan. Benarlah Ramadhan mengajar Basir berjimat.

Jika dulu Basir sibuk dengan perniagaan sehingga tidak berkesempatan untuk ke masjid, tetapi sekarang Basir tidak sibuk lagi. Perniagaannya sudah tidak menyibukkannya. Tak perlu lagi berniaga hingga ke malam. Benarlah Ramadhan telah mengajar Basir tidak cintakan dunia. Benarlah Ramadhan telah mengajar Basir berjinak-jinak dengan masjid.

Jika dulu Basir lebih mengutamakan suratkhabar  dan mengabaikan al-Quran, tetapi sekarang Basir sudah tidak membeli suratkhabar. Lagipun suratkhabar sekarang sudah mahal. Benarlah Ramadhan telah mengajar Basir untuk membaca al-Quran.

Jika dulu waktu malamnya dihabiskan di depan TV, tetapi sekarang Basir sudah jarang menonton TV. Basir mula join group tadarus di tempatnya. Benarlah Ramadhan telah mengajar Basir mengisi malam dengan amalan mulia.

Jika dulu Basir lebih bergembira jika hari Raya cepat tiba, tetapi sekarang Basir makin resah untuk menyambut hari raya. Terlalu banyak persiapan dan perbelanjaan yang hendak dikeluarkan. Jika boleh biarlah bulan Ramadhan ini sepanjang tahun. Benarlah Ramadhan telah mengajar Basir cintakan Ramadhan lebih daripada lain-lain bulan.

Dan yang paling Basir inginkan dalam Ramadhan kali ini ialah Allah memberinya peluang untuk bertemu dengan Lailatul Qadr. Sepuluh malam terakhir yang menjadi rebutan umat Islam sedunia. Lailatul Qadr .... lebih baik daripada seribu bulan. Semoga doanya diperkenankan. Semoga rezekinya bertambah-tambah. Semoga amalannya juga bertambah. Semoga keluarganya bermuafakat. Semoga anak-anaknya berjaya di dunia dan di akhirat. Amiin...

Tiada ulasan: