Seperti yang dijanjikan, catatan kali ini adalah sambungan kisah Basri, seorang bapa tunggal. Sebagai kesinambungan kisahnya dalam catatan Kucupan Terakhir, Bertemu Guru, Panggilan Anak dan mencari Mama. Sebenarnya, bukan mudah untuk mengorek kisah silam ini...
Ketika di bandar, Basri tinggal berseorangan. Kehidupannya semakin perit..
Hutang pun banyak. Gaji Bersih tinggal RM320. Sewa rumah pula dah RM380. Setiap minggu Basri hendak pulang ke kampung lagi. Basri tertekan. Badannya mula sakit-sakit. Rasa mencucuk-cucuk seluruh badan. Batuknya semakin menjadi-jadi. Adakalanya keluar darah. Ketika buang air besar pun, najisnya bercampur darah. "Ya Allah... apa sudah berlaku ni. Berilah aku kekuatan untuk mengharungi semua ini Demi Anak-Anakku. Kasihanilah mereka yang baru sahaja kehilangan kasih seorang ibu. Aku tidak sanggup melihat mereka kehilangan kasih seorang ayah pula." rintih Basri.
Menurut saudara-mara dan rakan-rakan, Basri dinasihatkan supaya bertemu bomoh. Mungkin Basri telah terkena sihir. Selepas kematian isterinya, kini gilirannya pula. Namun Basri telah tekad bahawa dia tidak akan bertemu bomoh lagi. Bahkan Basri sudah tidak percaya bomoh lagi. Baginya ramai bomoh telah berdusta ketika membuat rawatan isterinya dulu. Segala benda-benda yang berkaitan dengan bomoh, habis dibuangnya. Sakit Basri semakin teruk. Berat badannya semakin turun. Matanya semakin cengkung. Selera makannya semakin kurang.
Basri jatuh sakit. "Aku mesti sembuh. Aku tidak boleh berterusan begini. Demi Anak, demi masa depan mereka, aku mesti terus hidup!" Itulah bisikan hati Basri seorang diri. Basri mulai mendekati masjid. Mula membaca al-Quran dan mula solat hajat supaya disembuhkan daripada penyakit yang tidak diketahuinya.
Selain itu, Basri juga telah mengambil keputusan untuk keluar dari rumah sewanya. Basri pindah ke rumah sewa rakanya dan menyewa 1 bilik. Maka bermulalah hidup Basri dengan semangat baru. Semangat untuk terus hidup Demi Anak. Suatu ketika Basri hanya mampu makan nasi putih, sedikit sayur dan air suam sahaja. Tidak mampu untuk berbelanja lebih kerana berjimat cermat untuk pulang ke kampung. Basri terpaksa ikat perut!
Basri pun mula membuat kerja luar. Membantu rakannya mengendalikan kursus motivasi. Pernah satu hari Basri diberi RM600. Itulah pendapatan paling tinggi yang diterima. Tapi rakannya berkata, "Ingat! Separuh ni untuk kau, separuh lagi untuk anak-anak kau di kampung." kata rakannya yang juga seorang bapa tunggal. Hari biasa, Basri bekerja seperti biasa. Pada hujung minggu, Basri akan ikut rakannya jika ada kursus motivasi. Pernah Basri balik jam 3.00 pagi dan pergi kerja jam 7.oo pagi. Tapi Basri redha. Demi Anak, Basri sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat rezeki yang halal.!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan