Salam Aidilfitri. Semalam ana buka kedai setengah hari. Hari ini ana sudah mula bekerja seperti biasa. Di pagi ini ana nak cerita sikit tentang kisah 3 beradik lelaki yang bernama Ali, Ahmad dan Alias (Kami Nak Senapang). Anak Pak Salleh. Nak tahu cerita terbaru mereka?
Sejak Ali rosakkan Basikal Barunya,
Pak Salleh sudah tak beli basikal lagi. Tapi kali ini memang mencabar hati Pak Salleh. Seperti biasa taktik budak-budak ialah berjanji kosong. Janji nak belajar bersungguh-sungguh, nak pergi mengaji setiap hari dan tak mahu merayau lagi di waktu tengahari, senja dan malam. Hari-hari mereka berjanji membuatkan hati Pak Salleh cair juga akhirnya.
"Kalau ayah tak nak belikan basikal baru, ayah belikanlah basikal second." kata Ahmad pada suatu pagi ramadhan yang lalu. "Saya suruh ayah ambil duit saya di Tabung Haji ayah tak nak." kata Ali pula. "Saya tak pernah dapat basikal baru. saya pun nak juga." kata Alias pula. Bukannya seminggu sekali cakap...tapi setiap hari, setiap waktu. Selagi tak belikan basikal, selagi itulah mereka bising, bergaduh dan menyepahkan rumah. Isteri Pak Salleh pula bukan main bengang lagi. Hari-hari kena kemaskan rumah. Mengemas rumah yang sengaja disepahkan memang menyakitkan hati. Suatu hari, di pagi minggu ramadhan yang lalu, hati Pak Salleh rapuh juga. Kasihan pula kepada tiga anak lelakinya itu. "Hah. Pagi ni mari kita pergi beli basikal. tapi janji tau... mesti ikut ayah pergi masjid setiap hari." kata Pak Salleh. Apa lagi, maka menjawablah mereka, "Ok... kami janji!."
Maka pergilah mereka ke kedai basikal. Sampai di sana, mereka pun segera turun dan pilih basikal baru. Pak Salleh pun pening. Tiba-tiba Pak Salleh terlihat dua buah basikal second di depan kedai. "Hei tauke, ini basikal berapa harga?' tanya Pak Salleh. "Itu besar punya RM85, itu kecik punya RM48... banyak murah." kata tauke basikal tu. Setelah dibelek-belek maka Ali dan Ahmad pun berkenan. Ali ambil yang besar dan Ahmad ambil yang kecil. Alias pula mula merengek, "Ayah.. basikal saya mana. Saya pun nak jugak." Pak Salleh pun tanya tauke tu, "Hei tauke, saya ada satu lagi basikal. Beli di sini dulu. boleh repair ke?" tauke tu pun menjawab, "Boleh, boleh. Lu bawa sini kasi saya tengok."
Pak Salleh pun balik ke rumah dan ambil basikal lama untuk dibaiki. Setelah dibaiki, Tauke tu kata tak perlu bayar kerana tiada barang yang diganti. Tiba-tiba Ahmad berkata, "Ayah, tengok tayar basikal ni, dah pecah. Gantikanla." Ya memang benar. tayar belakang basikal tu dah merekah. Pak salleh pun suruh tukar. RM10 sahaja. Seelah diberi kurang sedikit, Pak salleh pun membayar RM140.
Apa lagi, mereka pun balikalah ke rumah dengan menaiki basikal. Sederet sejauh 2 km. Pak Salleh mengekori dari belakang. Bukan main seronoknya mereka. Bagi Pak Salleh tiada apa yang lebih menggembirakan hatinya selain daripada melihat kegembiraan ahli keluarganya...
Dalam posting akan datang kita lihat adakah janji 3 beradik itu benar... jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan