PRU13 telah berlalu. Sudah menjadi adat bertanding, ada yang kalah dan ada yang menang. Calon yang menang melonjak kegembiraan. Calon yang kalah pula tunduk kesedihan. Itulah adat berlawan.Namun di pagi Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, di waktu dhuha ini... marilah kita bermuhasabah diri. Jadikan PRU13 sebagai Medan Muhasabah Diri. Fikirlah secara positif.
Jika kalah, mengapa kalah? Adakah kerana ditipu lawan atau kesalahan diri sendiri. Jangan salahkan pengundi kerana tidak menyokong, tetapi sejauh mana anda mendekati mereka selama ini. Apakah sumbangan anda selama ini? Cukupkah dengan janji-janji manis peringkat persekutuan yang digembar-gemburkan? Cukupkah dengan kehebatan pemimpin anda yang dicanang-canangkan? Cukupkah dengan slogan Melayu dan Islam? Cukupkah?
Sepatutnya anda lebih mencanangkan kelebihan diri anda, perancangan anda untuk membantu masyarakat setempat dan membangunkan kampung/kawasan mereka. Inilah keperluan mereka! Bukannya hendak mendengar kepincangan pihak lawan sehingga sanggup mem-'bogel'-kan mereka... Jika ini sikap anda, adakah Allah akan membantu anda?
Jika menang, mengapa anda menang? Adakah kemenangan itu wajar anda terima atau tidak. Jangan mendabik dada kononnya anda seorang pemimpin yang hebat jika anda sendiri tidak pernah mendekati hati rakyat. Jika anda sendiri hanya muncul lima tahun sekali, wajarkah anda menang? Adakah kemenangan itu kerana kepemimpinan anda atau kerana anda mewakili sebuah parti yang dominan di kawasan anda? Lebih malang lagi jika kemenangan anda ada unsur penipuan dan rasuah! Jika ini yang berlaku, maka segeralah bertaubat! Mohon keampunan. Jika inilah cara kemenangan anda, adakah Allah akan membantu anda? Mampukah anda menjadi pemimpin yang adil dan dikasihi rakyat? Mampukah?
Ayuh! Bersatulah kita! Bersatulah kita hendaknya Satu Bangsa, Satu Agama dan Satu Negara!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan