Alhamdulillah, dapat juga kita bertemu lagi setelah lapan hari tanpa catatan baru.
Sekembali dari Pulau Pangkor, badan ana rasa kurang sihat. Memang sebelum itu pun ana sudah batuk-batuk. Namun bagi memenuhi undangan rakan lama, ana gagahi juga untuk ke Pulau Pangkor. Banyak pengalaman ana perolehi sepanjang mengendalikan kursus di sana. Walaupun makanan yang disediakan sedap-sedap belaka, namun ana terpaksa 'berpantang' kerana tidak mahu batuk ana melarat. Ana lebih rela minum air suam sahaja daripad mengambil minuman berais. Dalam banyak-banyak perkara yang ana bincangkan, isu kesihatan menjadi isu utama.
Memang benar, harta yang banyak tidak dapat menjamin badan yang sihat. Kita mungkin sihat, tetapi pasangan kita dan anak-anak belum tentu sihat. Kita sibuk mencari kekayaan dan kemewahan dunia bagi membahagiakan keluarga, namun di dalam kesibukan itu kita diuji dengan pelbagai penyakit yang dialami oleh keluarga kita. Jika diberi pilihan di antara harta dan kesihatan, tentu ramai di kalangan kita yang akan memilih kesihatan. Kesihatan merupakan nikmat kedua terbesar selepas Islam dan iman.
Oleh itu, jagalah kesihatan diri. Semoga kita diberikan kesihatan yang baik. Semoga kita dipanjangkan usia di dalam keadaan sihat walafiat. Semoga kita terus bersyukur dengan Nikmat Kesihatan yang Allah berikan. Amiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan