Khamis, Ogos 30, 2012

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya Aidilfitri ana ucapkan kepada semua pengunjung. Maaf kerana sudah lama tidak membuat catatan baru. Maaf dipinta jika ada terlajak bicara. Maaf juga dipinta jika ada terkasar bahasa. Semoga Hari Raya ini memberi erti yang amat mendalam dalam hidup kalian. Jadikan Ramadan yang lalu sebagai Kem Tarbiah diri. Apakah amalan-amalan baik di bulan Ramadan masih mampu kita lakukan pada bulan Syawal dan seterusnya? Mampukah kita berpuasa sunat? Mampukah kita bersolat witir setiap malam sebelum tidur? Mampukah kita melakukan solat dhuha setiap pagi? Mampukah kita membaca al-Quran 5 muka surat setiap hari? Mampukah???

Jumaat, Ogos 03, 2012

Mana Bendera Malaysia?

Hari Merdeka semakin hampir. Namun bendera Malaysia masih belum kelihatan di mana-mana. Di rumah, di premis perniagaan, di bangunan kerajaan dan di kenderaan. Tidak seperti tahun-tahun lalu.... Mana perginya Jalur Gemilang? Sudahkah anda mengibarkannya?

Terlepas Sijil Dekan

Shahida baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan semester 2. Walaupun sedikit kecewa tidak dapat sijil dekan, namum Shahida tetap bersyukur kerana masih mampu mengekalkan 3 pointer ke atas. Shahida berazam untuk terus berusaha lebih gigih bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik pada semester depan. Ada lagi 4 semester yang mesti dilalui olehnya....

Percubaan STPM

Minggu ini Ani sedang menghadapi peperiksaan percubaan STPM 2012. Minggu lalu Ani telah selesai menduduki peperiksaan MUET. Bersamalah kita berdoa semoga Ani mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan tersebut.

Khamis, Ogos 02, 2012

Tepati Janji

Apabila anda berjanji, tepatilah janji anda. Tidak kira siapa anda dan kepada siapa anda berjanji, maka semua janji mesti ditepati. Di antara sifat-sifat orang munafik ialah apabila berjanji, dia mungkiri. Pilihanraya semakin hampir. Kepada semua pemimpin, ana ingin mengingatkan supaya tunaikan janji-janji kalian semasa kempen dulu. Jika masih belum mampu untuk dilaksanakan ataupun tidak boleh dilaksanakan, mohonlah kemaafan daripada rakyat. Jika anda masih diberi peluang untuk memimpin, pimpinlah mereka secara adil. Sekiranya anda tidak mampu untuk memimpin secara adil, maka berilah peluang kepada orang lain yang lebih berwibawa, adil dan amanah.

Janji Ditepati

Itulah tema Hari Kemerdekaan kita tahun ini walaupun ada pihak-pihak tertentu tidak puas hati dengan tema tersebut. Mereka mempunyai alasan tersendiri. Namun bagi pihak kerajaan pula, mereka juga mempunyai alasan tersendiri juga. Anda bagaimana?

Ramadan Mendidik Kita

Salam Motivasi, Salam Ramadan. 
Bulan Ramadan telah memasuki fasa kedua iaitu fasa pengampunan. Fasa rahmat telah berlalu. Setakat ini apakah yang kita perolehi daripada Ramadan? Rugilah kita sekiranya kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Terlebih rugi lagi jika kita langsung tiada peningkatan dalam beramal. Amat rugi sekali jika bertambah pula melakukan maksiat! Selamat beramal. Semoga amalan berpuasa, solat sunat, solat berjamaah, bersedekah, witir sebelum tidur dan lain-lain amalan soleh dapat kita teruskan sebagai amalan seumur hidup. Selamat berpuasa...


Jumaat, Julai 13, 2012

Air Mata Guru

Seperti siswa siswi lain, Shahida juga sedang bercuti. Shahida balik kampung. Hendak tunggu bulan September pun lama lagi. Inilah masanya bagi Shahida untuk membantu ayahnya dan mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang lain. Beberapa hari yang lalu, sempat juga Shahida bersama beberapa rakan berkunjung ke sekolah lama bertemu guru. Guru mereka amat terharu dengan kehadiran mereka. Lebih terharu lagi ialah apabila mereka berbual dengan guru mereka dalam Bahasa Arab. Menitis air mata guru kerana terlalau terharu...

Selasa, Julai 10, 2012

Hidup Senang, Hidup Tenang

Salam motivasi dan selamat malam. Kepada rakan-rakan pengunjung, ana doakan semoga kalian sihat walafiat dan berbahagia hendaknya disamping keluarga tercinta. Apalah makna kehidupan kita jika keluarga kita porak peranda. Apalah makna kehidupan kita jika belum mendapat ketenangan walaupun hidup penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Apalah makna kehidupan kita jika masih bekerja siang dan malam mencari wang bagi membayar hutang keliling pinggang. 

Alangkah bertuahnya seorang insan yang tinggal di kampung, hidup penuh sederhana, bahagia bersama keluarga, bekerja seadanya, namun hatinya tenang dan hidupnya senang. Kita lihat mereka susah kerana tiada kenderaan besar, namun itulah kehidupan mereka, mereka senang dan tenang! 

Adakah kita sekarang hidup senang dan tenang? Tanyalah diri dan jawablah dengan hati!..

Isnin, Julai 09, 2012

Kayu Lama

Alhamdulillah. Projek Fasa 1 Pusat Pengajian Al-Quran di kampung sudah hampir siap. Insya-Allah bulan ini kelas Al-Quran akan dimulakan. Terima kasih tidak terhingga kepada staf ana, Abdullah yang gigih mencantikkannya seorang diri. Hanya tinggal sebahagian dinding dan wiring dewan kuliah masih belum siap. Kepuasan yang tidak terhingga ana rasakan. Buat masa ini ana gunakan apa sahaja sumber yang ada. Kayu-kayu lama dikutip semula, dibersihkan, disapu minyak dan akan digunakan semula. Terpaksalah ana  keluarkan sedikit duit belanja rumah untuk menjayakannya. Orang kampung pula sudah mula bertanya bila kelas al-Quran akan dimulakan. Memang ramai para ilmuan, tetapi tidak ramai yang sanggup untuk mengajar budak-budak mengaji...

Doakan ana semoga pengujudan Pusat Pengajian Al-Quran ini menjadi kenyataan. Memberi manafaat kepada penduduk kampung dan masyarakat setempat.  Amiiin.

Khamis, Jun 28, 2012

Pusat Pengajian Al-Quran dan Kem Motivasi5k

Salam Motivasi dan salam Sejahtera. Alhamdulillah bersyukurlah kita kerana dapat juga kita bertemu lagi setelah dua minggu menghilang. Sebenarnya ana banyak habiskan masa di kampung Peket 60 kerana membuat kerja-kerja menaik taraf rumah pusaka menjadi Pusat Pengajian Al-Quran dan Kem Motivasi5k. Kerja-kerja pembersihan, ubahsuai mengecat dan menyapu minyak kayu sedang dijalankan. Insya-Allah hujung minggu ini kerja-kerja pendawaian akan dibuat.

Kem Motivasi5k adalah berkonsepkan kampung. Mengekalkan ciri-ciri bangunan dan kehidupan kampung. Insya-Allah Kem Motivasi5k akan mula beroperasi selepas Hari Raya Aidilfitri ini. Jumpa lagi...

Khamis, Jun 14, 2012

Solat Istiharah

Seperti yang dinasihati oleh gurunya, Basir pun melakukan Solat Sunat Istiharah. Bagi Basir inilah pertama kali dia buat Solat Istiharah bagi memulihkan perniagaannya. Basir memohon supaya Allah memberikan kepadanya perniagaan yang benar-benar menguntungkannya di dunia dan di akhirat. Basir pasrah. Apa juga keputusan yang diperolehi akan dituruti. Apa juga petunjuk yang di terima akan dipatuhi. 

Selain itu, Basir juga memohon kepada gurunya untuk melakukan Solat Istiharah juga. Memohon petunjuk samada ingin menjual kedai atau tidak.

Baju Muslimah

Memang jika diceritakan kepada bapanya pun, belum tentu bapanya boleh menerima alasannya. Keemasan bertekad untuk membuktikan kapada bapanya bahawa tinggal di rumah juga boleh berjaya di dalam pelajaran. Keemasan pun menceritan segala apa yang berlaku di asrama, yang menjadi punca dia tidak mahu tinggal di asrama. 

Memang Keemasan agak cerewet. Barang-barang dan pakaiannya bukan boleh diusik-usik tanpa izin. Adik-adiknya selalu dimarahi kerana mengambil barangnya tanpa izin. Namun inilah yang berlaku di asrama, alat tulis hilang, sabun, ubat gigi dipinjam kawan, dan yang paling teruk ialah apabila baju muslimah kesayangannya dipinjam kakak senior tanpa izin. Walaupun semua penghuni asrama adalah perempuan, namun ugut-mengugut tetap ada. Ditambah dengan denda itu dan ini. Jiwa Keemasan semakin tertekan. Jika diceritakan kepada bapanya, seperti mencurah air ke daun keladi sahaja...

Doa Untuk Shahida

Minggu ini minggu peperiksaan di 'U'. Bersamalah kita berdoa semoga Shahida dapat menjawab dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan akhir Semester 2. Semoga Shahida dapat mengekalkan sijil dekan seperti di dalam peperiksaan Semester 1. Kepada Shahida ana ucapkan selamat menduduki peperiksaan. Lakukanlah yang terbaik kerana anda adalah 'pelumba' yang terbaik!

Rindu

Salam motivasi. Maaf kerana sudah lama tidak bersua. Ya, sudah hampir dua minggu ana tidak buat paparan baru. Rindu juga rasanya. Walaupun kita tidak saling mengenal, namun pertemuan di alam maya juga cukup untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita. Bukanlah sibuk sangat, tetapi masalah kelambatan capaian internet di sini membuatkan ana kurang sabar untuk menunggu lama. 

Dua minggu berlalu tentu sahaja banyak perkara dapat kita kongsikan. Cuti sekolah yan lalu memberi kesempatan kepada ana untuk bertemu dan berhubung dengan beberapa 'hero' dan 'heroin' dalam blong motivasi5k. Tentunya kalian ingin mengetahui kisah-kisah mereka seterusnya. Shahida di 'U', Ani di kolej, Keemasan di sekolah biasa serta Ali dan Ahmad yang telah bertukar ke sekolah baru.

Jumpa lagi. 

Rabu, Mei 30, 2012

Cuti Sekolah Tiba Lagi

Cuti Sekolah Tiba Lagi. 

Bagi murid-murid pra-sekolah dan sekolah rendah, mereka memang suka hati. Bebas daripada bebanan beg sekolah dan leteran guru di sekolah. Mereka boleh menonton TV siang dan malam, bermain di padang dan main game di rumah. Tidak perlu basuh kasut dan tidak perlu bangun awal pagi untuk ke sekolah.

Bagi pelajar-pelajar sekolah menengah pula, inilah masanya mereka ber-'face-book', ber-'sms', 'chating', 'dating' atau duduk terperap di rumah. Ada juga yang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan penting tahun ini.

Bagi sebahagian ibu bapa, mereka tentu pening kepala kerana anak-anak mereka ada di rumah. Riuh rendah suara mereka, usik mengusik dan rumah bersepah. Kalau tetamu datang bertandang musim cuti sekolah ini, tentu sahaja 'pening' dengan suasana bersepah itu.

Ada di kalangan ibu bapa yang tidak mamberi peluang kepada anak tinggal di rumah. Mereka terus hantar anak mereka ke kem-kem motivasi, tuisyen dan pra-tahfiz. Runsing benar mereka apabila anak mereka di rumah. Keluar siang malam dan ke CC.

Apapun yang kita lakukan, lakukanlah yang terbaik....

Khamis, Mei 24, 2012

Nikmat Kesihatan

Alhamdulillah, dapat juga kita bertemu lagi setelah lapan hari tanpa catatan baru.

Sekembali dari Pulau Pangkor, badan ana rasa kurang sihat. Memang sebelum itu pun ana sudah batuk-batuk. Namun bagi memenuhi undangan rakan lama, ana gagahi juga untuk ke Pulau Pangkor. Banyak pengalaman ana perolehi sepanjang mengendalikan kursus di sana.  Walaupun makanan yang disediakan sedap-sedap belaka, namun ana terpaksa 'berpantang' kerana tidak mahu batuk ana melarat. Ana lebih rela minum air suam sahaja daripad mengambil minuman berais. Dalam banyak-banyak perkara yang ana bincangkan, isu kesihatan menjadi isu utama.

Memang benar, harta yang banyak tidak dapat menjamin badan yang sihat. Kita mungkin sihat, tetapi pasangan kita dan anak-anak belum tentu sihat. Kita sibuk mencari kekayaan dan kemewahan dunia bagi membahagiakan keluarga, namun di dalam kesibukan itu kita diuji dengan pelbagai penyakit yang dialami oleh keluarga kita. Jika diberi pilihan di antara harta dan kesihatan, tentu ramai di kalangan kita yang akan memilih kesihatan. Kesihatan merupakan nikmat kedua terbesar selepas Islam dan iman.

Oleh itu, jagalah kesihatan diri. Semoga kita diberikan kesihatan yang baik. Semoga kita dipanjangkan usia di dalam keadaan sihat walafiat. Semoga kita terus bersyukur dengan Nikmat Kesihatan yang Allah berikan. Amiin.

Rabu, Mei 16, 2012

Bingkisan Dari Pulau Pangkor

Salam Motivasi.

Terlebih dahulu ana ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru khususnya kepada guru-guru ana. Tidak lupa juga kepada semu guru anak-anak ana yang telah mendidik mereka tanpa jemu. 

Sabtu lalu ana telah mengendalikan Seminar Rahsia Mumtaz di KAFA Taman Sri Indah, Sg Besar. Program dihadiri oleh seramai lebih 120 orang murid tahun 5 dan 6. Lebih mengejutkan ana ialah dengan kehadiran Ketua Guru dan guru-guru yang terlibat aktif membantu murid-murid.

Semalam, hari ini dan esok ana berada di Puteri Bayu Beach Resort, Pulau Pangkor kerana membantu rakan ana mengendalikan Kursus Kujurulatihan Memacu Pasukan Cemerlang anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Kursus dikendalikan oleh syarikat perunding Fokus Training and Consultancy. Lebih 40 orang staf PERDA hadir.

Jumpa lagi...

motivasi5k
Pulau Pangkor

Khamis, Mei 10, 2012

Selamat Belajar

Selamat belajar ana ucapkan kepada semua pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM. yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke perinkat yang lebih tinggi. Begitu juga kepada lepasan Diploma dan Ijazah yang akan menyambung belajar. Tahniah dan syabas ana ucapkan. Teruskan belajar, teruskan perjuangan kalian. Semoga kalian sentiasa diberkati Allah. Pandai-pandailah menjaga diri di perantauan. Jangan jadikan ia sebagai satu peluang untuk hidup 'bebas' dan 'bergaya'! Jagalah adab sopan dan budi pekerti. Belajarlah dengan sumber pembiayaan yang halal, elakkan riba. Pengorbanan ibu bapa jangan dilupa walau di mana kalian berada. Selamat Belajar!

Selasa, Mei 08, 2012

Amal Jariah

Ketika kita berada, iangatlah kepada orang yang kurang berada dan tidak berada. Ketika kita makan secara buffet di hotel lima bintang, ingatlah keluarga kita yang hanya mampu makan di rumah sahaja. Ketika kita berulang kali mengerjakan umrah, ingatlah keluarga kita yang masih fakir dan miskin. Ketika kita sibuk bertukar kereta mewah, ingatlah saudara seagama kita yang masih ikat perut, berhempas pulas memerah keringat, kais pagi makan pagi kais petang makan petang mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.

Bantulah mereka yang memerlukan. Bantulah kerja-kerja agama. Bantulah anak-anak yatim, bantulah fakir dan miskin, bantulah ibu-ibu tunggal, bantulah warga tua yang uzur, bantulah.... bantulah mereka yang memerlukan. Kerana apabila kita mati, hanya tiga perkara sahaja yang dapat membantu kita iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanafaat dan amal jariah...