Ahad, Mei 26, 2013

Cuti Lagi...

Cuti sekolah datang lagi. 14 hari. wooooh! Ada yang suka ada yang kurang suka dan ada yang tidak suka. Paling suka ialah murid-murid dan pelajar-pelajar yang sedang bercuti. Ibu bapa juga suka anak-anak mereka bercuti keran boleh balik kampung bersama dan bercuti. Tapi paling tidak suka ialah ibu bapa yang tidak dapat mengawal anak-anak mereka daripada bergaul dengan rakan-rakan yang kurang baik. Tentu sahaja mereka lebih suka anak mereka ke sekolah. 
Kepada para guru, pelajar dan murid yang terlibat dengan kelas tambahan, ana ucapkan syabas kerana masih tekun belajar di hari cuti ini...

Rabu, Mei 15, 2013

Selamat Hari Guru

  

Selamat Hari Guru 

16 Mei 2013

Ikhlas daripada motivasi5k

Warkah Untuk Guru



Ketika zaman nakal kami dahulu,
kami sering dimarah dan dihukum,
kami juga pernah diusir dari kelas.

Namun kini segalanya telah berubah,
sejak kami tinggal di Asrama Desa,
sejak kami belajar di SKBT,
kami mendapat sinar baru,
kami mendapat harapan baru,
kami mendapat semangat baru,

Cikgu,
Ketika kami dalam kegelapan,
engkau berikan kami cahaya.
Ketika kami dalam kedukaan,
engkau berikan kami ceria.
Ketika kami dalam kesusahan,
engkau berikan kami bahagia.

Sememangnya kami ingin berubah,
tapi kami tak tahu cara nak berubah,
sememangnya kami ingin berjaya,
tapi kami tak tahu cara nak berjaya,
sememangnya kami ingin cemerlang,
tapi kami tak tahu cara nak cemerlang.
 

Cikgu,
Jika kami terlajak kata, tegurlah kami,
jika kami terlajak laku, bimbinglah kami,
jika kami lalai dan alpa, nasihatilah kami,
kami ibarat kain yang putih,
asuhlah kami, didiklah kami,
agar kami menjadi insan yang berguna,
agar kami menjadi insan yang cemerlang,
agar kami menjadi insan yang soleh.

Cikgu,
Terima kasih kerana mengajar kami membaca,
terima kasih kerana mengajar kami menulis,
terima kasih kerana mengajar kami mengira.

kami doakan,
semoga cikgu dirahmati Allah,
semoga cikgu panjang umur,
semoga cikgu sihat sejahtera,
semoga cikgu dikurniakan rezeki yang halal,
semoga cikgu terus membimbing kami,
semoga cikgu terus mendidik kami,
semoga cikgu terus berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Akhirnya, kami ucapkan
SELAMAT HARI GURU
kepada warga pendidik SKBT dan Asrama Desa,

Sekian terima kasih,

Ikhlas daripada,

AHMAD DAN ALI
Tahun 6
SKBT
16 Mei 2013




Selasa, Mei 14, 2013

Kutubkhanah

Sejak dua minggu lalu ana amat sibuk menguruskan pengujudan kutubkhanah baru di kedai ana. Asalnya anak kedua cadangkan buku-buku lama di jual ke pusat kitar semula. namun ana fikir daripada buang begitu sahaja, ada baiknya ana susun atas rak untu dijadikan kutubkhanah. Buku paling lama dalam koleksi kutubkhanah ana ialah buku-buku tahun 1950an dan 1960an. Selain itu terdapat juga buku-buku agama, akademik, ilmiah, kesihatan dan buku kanak-kanak. Terdapat juga siri buku STPM aliran agama tulen dan buku pengajian Bahasa Arab.

Matlamat penubuhan kutubkhanah ini adalah untuk dijadikan rujukan pelajar-pelajar dan masyarakat setempat. Kepada sesiapa yang ada buku-buku atau majalah lama, terpakai dan baru yang ingin disumbangkan bolehlah hubungi ana di talian 013-2092280. Semoga sumbangan kalian akan dapat dimanafaatkan oleh masyarakat. Terima kasih.

Isnin, Mei 13, 2013

Mandikan Kucing

Nak jadi ceritalah pulak.. pagi tadi ana mandikan kucing. Bukanlah kucing ana, tapi kucing ni memang asyik berlegar di kedai ana. Manja sungguh bermain dengan anak-anak ana, Asmaa', Sumayyah, Syafiyyah dan Ibrahim. Ana bukannya tak bagi main kucing tu, tapi baunya semacam je... Jadi pagi ni ana pun mandikanlah kucing tu....kuranglah sikit baunya.... kuranglah sikit kutunya...

Terfikir juga ana kalau suami atau isteri tak mandi berminggu-minggu, macamana ye...

Jumaat, Mei 10, 2013

PRU13 : Medan Muhasabah Diri

PRU13 telah berlalu. Sudah menjadi adat bertanding, ada yang kalah dan ada yang menang. Calon yang menang melonjak kegembiraan. Calon yang kalah pula tunduk kesedihan. Itulah adat berlawan.Namun di pagi Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, di waktu dhuha ini... marilah kita bermuhasabah diri. Jadikan PRU13 sebagai Medan Muhasabah Diri. Fikirlah secara positif. 

Jika kalah, mengapa kalah? Adakah kerana ditipu lawan atau kesalahan diri sendiri. Jangan salahkan pengundi kerana tidak menyokong, tetapi sejauh mana anda mendekati mereka selama ini. Apakah sumbangan anda selama ini? Cukupkah dengan janji-janji manis peringkat persekutuan yang digembar-gemburkan? Cukupkah dengan kehebatan pemimpin anda yang dicanang-canangkan? Cukupkah dengan slogan Melayu dan Islam? Cukupkah?
Sepatutnya anda lebih mencanangkan kelebihan diri anda, perancangan anda untuk membantu masyarakat setempat dan membangunkan kampung/kawasan mereka. Inilah keperluan mereka! Bukannya hendak mendengar kepincangan pihak lawan sehingga sanggup mem-'bogel'-kan mereka... Jika ini sikap anda, adakah Allah akan membantu anda?

Jika menang, mengapa anda menang? Adakah kemenangan itu wajar anda terima atau tidak. Jangan mendabik dada kononnya anda seorang pemimpin yang hebat jika anda sendiri tidak pernah mendekati hati rakyat. Jika anda sendiri hanya muncul lima tahun sekali, wajarkah anda menang? Adakah kemenangan itu kerana kepemimpinan anda atau kerana anda mewakili sebuah parti yang dominan di kawasan anda? Lebih malang lagi jika kemenangan anda ada unsur penipuan dan rasuah! Jika ini yang berlaku, maka segeralah bertaubat! Mohon keampunan. Jika inilah cara kemenangan anda, adakah Allah akan membantu anda? Mampukah anda menjadi pemimpin yang adil dan dikasihi rakyat? Mampukah?

Ayuh! Bersatulah kita! Bersatulah kita hendaknya Satu Bangsa, Satu Agama dan Satu Negara!


Turun Padang

Sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, ana tidak Turun Padang. Yalah, sudah lebih lapan bulan. Badan ana pun sudah mula berisi, lutut mula sakit-sakit dan kurang ketenangan. Setelah fikir habis-habis, ana pun mula Turun Padang minggu lalu. Memang sebahagiann daripada aktiviti renggangan sudah ana lupa stepnya. Namun demi mengembalikan kesihatan yang baik, tenaga yang cukup, maka ana pun paksa diri untuk Turun Padang.

Woooooh! Penat juga. Hampir sejam ana berjalan biasa, berjalan laju dan berlari. Itulah akibatnya jika kita tidak melakukan secara istiqamah. Jom Turun Padang. Lakukan Terapi Azan secara istiqamah. Setelah lebih seminggu ana lakukan, alhamdulillah ana semakin sihat dan kuat! Jom sihat tanpa ubat!

Jumaat, Mei 03, 2013

Jom Pergi Mengundi!

Jom kita pergi mengundi Ahad ini, 5 Mei 2013. Kepada mereka yang telah daftar mengundi dan layak mengundi, jangan abaikan tanggungjawab ini. Pilihlah pemimpin yang terbaik.Itulah yang dipesan oleh PM kita dan lain-lain pemimpin negara. Semua parti yang bertanding termasuklah daripada parti bebas mendakwa merekalah yang terbaik. Namun janji-janji manis dan lawatan 5 tahun sekali tidak cukup untuk menjamin kemenangan. Pengundi sekarang semakin matang! Pengundi berhak membuat pilihan. Pilih pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan tulen yang menjadikan Rasulullah sebagai ikutan.